am@hmetro.com.my
Kuala Pilah: Keluarga seorang lelaki berusia 43 tahun yang juga pesakit mental resah apabila dia hilang sejak 12 hari lalu selepas keluar dari rumah kira-kira jam 11 malam.
Apa yang lebih membimbangkan keluarganya, penduduk mendakwa pernah terserempak dengan lelaki terbabit yang dikenali Shahzrie Abd Rahman bercakap sendirian pada hari dia dikatakan hilang.
Kakaknya, Suriyati Abd Rahman, 47, berkata, kehilangan adiknya yang tinggal di Kampung Terusan, Juasseh, di sini, disedari keluarganya selepas mendapati dia tidak pulang ke rumah sejurus keluar kira-kira jam 11 malam pada 20 Oktober lalu.
Suriyati berkata, kali terakhir adiknya dilihat penduduk kampung di sebuah kedai makan di daerah ini kira-kira jam 1 pagi Selasa minggu lalu.
“Saya dimaklumkan Shahzrie ada meminta bantuan penduduk di kawasan itu kerana motosikalnya tidak boleh dihidupkan.
“Apa yang membimbangkan saya apabila diberitahu keadaannya ketika itu seperti tidak normal kerana ada ketikanya bercakap sendiri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, dia juga khuatir sekiranya Shahzrie melakukan perkara tidak sepatutnya kerana dia sudah tidak mengambil ubat bagi bagi penyakit mentalnya sejak setahun lalu.
Bagaimanapun, sepanjang lebih 20 tahun menghidap penyakit itu, adiknya tidak pernah menimbulkan masalah kepada keluarga dan juga seorang anak yang baik.
“Dia anak ketiga daripada lima beradik. Dia dengan adik bongsu tinggal di kampung menjaga emak yang sudah tua. Walaupun Shahzrie pesakit mental, tapi dia adalah anak dan adik yang bertanggungjawab,” katanya.
Ditanya mengenai punca yang mungkin menjadi penyebab Shahzrie menghilangkan diri, Suriyati berkata, ibunya memberitahu sebelum itu keadaannya baik-baik saja.
“Pada malam itu, adik bongsu memujuk Shahzrie supaya tidak keluar kerana sudah lewat malam, tetapi tidak diendahkan. Ini pertama kali dia hilang dan ia membuatkan kami sangat risau.
“Memandangkan saya tinggal di Sarawak, saya minta bantuan Ketua Kampung Terusan untuk buat laporan polis. Hari ini dah masuk seminggu dia hilang dan kami tak dapat apa-apa maklumat langsung mengenainya,” katanya.
Katanya, pada hari kejadian, adiknya keluar menunggang motosikal jenis SYM185 dan memakai baju sejuk berwarna jingga serta berseluar jeans.
Sesiapa yang menjumpai atau mempunyai maklumat mengenai Shazrie boleh menghubungi Suriyatidi di nombor telefon 011-15142891 atau 012-8918291.
© New Straits Times Press (M) Bhd



