Ke sana sini tanpa ikatan, Tom sedia berkahwin buat kali keempat

Pernah serik untuk mempunyai pasangan disebabkan tiga kali gagal dalam perkahwinan, penyanyi Tom kembali membuka hatinya selepas kehadiran seorang lelaki bernama Fuad Rahman yang menjadi penyeri dalam kehidupan.

Menurut laporan Kosmo! Online, Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram mengakui kehadiran lelaki dari Singapura yang dikenali sejak lebih 10 tahun lalu itu adalah satu anugerah.

“Bagi sesetengah wanita, selepas mengalami beberapa kali kegagalan dalam rumah tangga, mereka mungkin akan serik. Begitu juga saya.
“Saya sudah tiada ada hati dan jiwa untuk berkahwin lagi. Langsung tak terfikir pun untuk kembali bergelar isteri sebelum berjumpa semula dengan Fuad,” kata penyanyi berusia 37 tahun itu.

Bercerita lanjut, Tom berkata pada awalnya, dia tidak pernah terfikir untuk kembali mendirikan rumah tangga kerana hanya mahu berkahwin dengan Fuad ketika berjuang dalam program Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9).

Namun, timbul bibit cinta hari demi hari selain tidak mahu hubungan rapat dengan lelaki berusia 43 tahun itu menjadi buah mulut ramai sehingga boleh mendatangkan fitnah atau tuduhan tidak berasas.

“Saya nak berkahwin dengan Fuad sebab dah banyak orang bercakap tentang kami. Ke sana ke sini tanpa ada ikatan. Jadi saya rasa kami kena kahwin juga.
“Keluarga Fuad pun bimbang sebab kami selalu bersama walaupun pada awalnya mereka tahu saya sebenarnya tidak mahu berkahwin lagi.
“Jadi untuk mengelak daripada orang bercakap, saya cuba untuk berkahwin kali keempat, sebab saya pun sudah mengenali Fuad sebelum ini,” ujarnya.

Sementara itu, Tom juga bersyukur dengan perubahan dan imej ‘bersih’ dilakukan Fuad berbanding kehidupan silam dilalui lelaki berkeenaan sebelum ini.

“Alhamdulillah, Fuad sekarang pun sudah banyak berubah. Dahulu dia nakal, tapi sekarang jadi semakin sihat. Saya nampak dirinya berbeza berbanding dahulu.
“Saya patut beri Fuad peluang. Walaupun kami belum berkahwin, tapi kami sedang lalui saat-saat gembira bersama,” kongsinya lagi.

Untuk rekod, Tom dikurniakan seorang cahaya mata lelaki selain turut mempunyai dua anak masing-masing menerusi perkahwinan pertama dan kedua.

Sumber: Kosmo! Online (Nur Emira Saizali), Facebook Tom

Leave a Comment