Keadaan di HSAH terkawal, sanitasi dijalankan berperingkat

bhnews@bh.com.my

ALOR SETAR: Keadaan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, terkawal dengan kerja sanitasi wad dan pembersihan terminal Jabatan Kecemasan dilakukan secara berperingkat sejak kelmarin.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, memaklumkan Zon Hijau jabatan itu bagaimanapun ditutup sementara ketika ini.

“Justeru, pesakit dinasihat mendapatkan rawatan di hospital atau klinik kesihatan terdekat yang lain, kecuali kes kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kelmarin, media melaporkan 30 kakitangan HSAH didapati positif COVID-19 dipercayai membabitkan penularan varian Delta dan Beta.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, dipetik berkata kakitangan terbabit meliputi doktor, jururawat dan pekerja bahagian pembersihan hospital itu.

Sementara itu, Dr Mohd Hayati ketika dihubungi pula menjelaskan hanya kakitangan HSAH yang menghidap COVID-19 Kategori Tiga dan Empat, dirawat di hospital berkenaan, manakala selebihnya dikuarantin di rumah.

“Sebenarnya, jumlah kakitangan dikesan positif adalah terkawal dan bukan hingga 100 orang seperti yang ditularkan,” katanya.

Dalam tempoh dua minggu ini, beliau berkata, kes bukan kecemasan akan dirujuk ke hospital lain seperti Hospital Yan, Hospital Kulim, Hospital Baling serta Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Namun bagi kes kecemasan, beliau berkata, pesakit masih boleh dirujuk ke HSAH berikutan kebanyakan wad sudah disanitasi, manakala khidmat pandu lalu bagi mendapatkan ubat-ubatan turut dibenarkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd