Keadaan manusia semasa di Padang Mahsyar

Keadaan manusia semasa di Padang Mahsyar

Padang mahsyar merupakan sebuah tanah yang rata dan kosong. Sahl bin Saad RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Manusia akan dihimpunkan pada hari kiamat di atas tanah putih yang putihnya tidaklah terlalu terang (atau agak sedikit kemerahan) seperti sekeping roti putih yang dibakar, tidak ada padanya sebarang tanda milik sesiapa pun.” Dalam riwayat lain, Sahl atau selainnya berkata: “Tidak ada padanya sebarang penanda (atau binaan) milik sesiapa pun.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Padang mahsyar ini pastinya merupakan sebuah tempat yang sangat luas dan lebih besar daripada bumi kerana yang akan berhimpun di situ adalah seluruh umat manusia sejak Nabi Adam AS sehinggalah manusia terakhir yang lahir sebelum berlakunya kiamat. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu jumlah sebenar keseluruhan bilangan mereka. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Ingatlah) masa hari bumi ini diganti dengan bumi yang lain, demikian juga langit. Dan manusia semuanya keluar berhimpun menghadap Allah Yang Maha Esa lagi Maha Kuasa.” (Surah Ibrahim: 48)

Dalam mentafsirkan ayat ini, ‘Abdullah bin Mas’ud RA berkata: “Bumi ini akan diganti dengan bumi lain yang warnanya seakan-akan perak. Tidak pernah ditumpahkan darah yang haram padanya dan tidak pernah dilakukan sebarang dosa di atasnya.” (Riwayat ‘Abdur Razzaq, ‘Abd bin Humaid dan at-Tabari dengan sanad sahih)

Di padang mahsyar, manusia akan dihimpunkan dalam keadaan berkaki ayam, telanjang dan tidak berkhatan, sama sebagaimana ia dilahirkan. Namun, keadaan dahsyat pada ketika itu memalingkan mereka semua daripada sibuk memikirkan hal lain selain nasib diri masing-masing. ‘Aisyah RA meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Kamu sekalian akan dikumpulkan dengan keadaan tidak beralas kaki, telanjang dan tidak berkhatan.” Lalu, ‘Aisyah bertanya: “Wahai Rasulullah, lelaki dan perempuan akan boleh melihat aurat antara satu sama lain?” Baginda menjawab: “Keadaan ketika itu lebih dahsyat daripada keinginan mereka untuk berbuat demikian.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat Ibnu ‘Abbas RA, Nabi SAW bersabda: “Kamu sekalian akan dikumpulkan dalam keadaan tidak beralas kaki, telanjang dan tidak berkhatan.” Lalu, ada seorang wanita bertanya: “Adakah sebahagian kami boleh melihat aurat sebahagian yang lain?” Baginda menjawab: “Wahai si polan, tiap-tiap seorang daripada mereka pada hari itu dalam keadaan yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.” (‘Abasa: 37).” (Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hasan sahih)

Orang pertama yang akan diberi pakaian pada hari kiamat kelak ialah Nabi Ibrahim AS. Daripada Ibnu ‘Abbas RA berkata: Rasulullah SAW pernah berkhutbah, sabdanya: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya kamu semua akan dikumpulkan menuju Allah dalam keadaan tidak beralas kaki, telanjang dan tidak berkhatan. Kemudian baginda membaca ayat: ‘Sebagaimana Kami memulakan wujudnya awal sesuatu kejadian, Kami mampu mengulangi wujudnya lagi, sebagai satu janji yang ditanggung oleh Kami. Sesungguhnya Kami tetap melaksanakannya’ (al-Anbiya`: 104). Kemudian baginda bersabda: “Ketahuilah, sesungguhnya orang pertama yang akan diberi pakaian pada hari kiamat kelak ialah Ibrahim AS.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

al-Hafiz Ibnu Hajar merekodkan bahawa Ibnu Mandah meriwayatkan daripada hadis Haidah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Orang pertama yang akan diberi pakaian ialah Ibrahim AS. Allah berfirman: ‘Pakaikanlah kekasih-Ku pakaian agar hari ini manusia mengetahui kelebihannya ke atas mereka semua.'”

Meskipun demikian, terdapat riwayat yang seolah-olah bercanggah dengan hadis-hadis di atas, iaitu daripada Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa tatkala beliau mendekati ajalnya, beliau telah meminta pakaian yang baharu, lalu memakainya, kemudian beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang meninggal dunia akan dibangkitkan dengan memakai pakaian yang ia pakai ketika meninggal dunia.” (Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Hibban dalam Sahihnya)

Dalam merungkaikan percanggahan antara hadis ini, al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitabnya Fath al-Bari membawakan beberapa penjelasan para ulama. Antara jawapannya ialah hadis Abu Sa’id al-Khudri RA itu sebenarnya adalah mengenai para syuhada’ (orang yang mati syahid) kerana merekalah yang diperintahkan supaya dikebumikan dengan pakaian mereka ketika syahid. Maka, boleh jadi Abu Sa’id al-Khudri mendengar hadis ini mengenai orang yang mati syahid, tetapi beliau memahaminya secara umum. Pendapat ini telah dipilih oleh Imam al-Qurtubi.

Antara jawapan lain ialah maksud ‘pakaian’ dalam hadis Abu Sa’id al-Khudri itu ialah amalan seseorang. Ini dikukuhkan dengan hadis daripada Jabir RA, Nabi SAW bersabda: “Setiap hamba akan dibangkitkan dalam keadaan (amalan) semasa ia meninggal dunia.” (Riwayat Muslim)

Penulis Pensyarah Kanan Jabatan al-Quran dan Sunnah, Universiti Islam Selangor (UIS)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top