Kean dapat kad merah selepas 40 saat beraksi

Kean dapat kad merah selepas 40 saat beraksi

Kean (kiri) dilayangkan kad merah setelah mengasari pemain pertahanan Roma. – Foto EPA

PENYERANG Juventus, Moise Kean dilayangkan kad merah ketika baru 40 saat beraksi di padang selepas dimasukkan sebagai pemain gantian dalam aksi Serie A.

Kejadian berlaku sejurus pemain berusia 23 tahun itu masuk pada penghujung babak kedua ketika Juventus tumpas kepada Roma 0-1 dalam saingan di Stadio Olimpico Isnin lalu.

Gol tunggal kemenangan Roma dijaringkan Gianluca Mancini pada minit ke-53.

Akibat layangan kad merah tersebut, pemain yang berasal dari Vercelli, Italy itu dikenakan hukuman gantung dua perlawanan.

Kean yang masuk ke padang menggantikan Juan Cuadrado pada hujung saingan dilihat hilang pertimbangan ketika bergelut dengan Mancini.

Dia menyepak pertahanan Itali itu sehingga terjatuh sebelum diperintah keluar padang.

Situasi itu menggembirakan penyokong tuan rumah.

Kean yang turut didenda 10,000 euro (RM47,644) bakal terlepas aksi Juve menentang seteru, Inter Milan bulan ini.

Dia setakat ini sudah menjaringkan lima gol dalam Serie A.

Juve menduduki tempat ketujuh selepas kekalahan berkenaan, 12 mata di belakang Roma.

Layangan kad merah itu menjadi rekod kedua terpantas dalam sejarah Serie A kerana catatan masa terpantas masih dipegang Giulio Migliaccio yang bertahan 32 saat di atas padang ketika Atalanta mengalahkan Palermo pada 2015.

Scroll to Top