Keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN pencapaian utama Kepengerusian Malaysia – PM

Keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN pencapaian utama Kepengerusian Malaysia – PM

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kemasukan Timor-Leste sebagai anggota rasmi ASEAN menjadi antara pencapaian utama di bawah Kepengerusian Malaysia.

Perdana Menteri berkata, keanggotaan penuh Timor-Leste mencerminkan semangat keterangkuman ASEAN dan menjadi simbol kejayaan diplomasi serantau yang berpaksikan perpaduan serta persefahaman antara negara anggota.

“Timor-Leste wajar diberi tempat dalam keluarga ASEAN. Saya gembira kerana perkara ini berlaku ketika Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN.

“Solidariti Malaysia bersama Timor-Leste bukan sekadar hubungan rasmi antara kerajaan tetapi juga berasaskan nilai persaudaraan serantau yang kita kongsi bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Taklimat bersama Ketua Pengarang bersama Media Tempatan dan Antarabangsa menjelang Sidang Kemuncak ASEAN di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Keanggotaan penuh Timor-Leste ke dalam ASEAN dijadual berlangsung pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 27 hingga 28 Oktober ini.

Langkah itu secara langsung menandakan permulaan baharu bagi negara berkenaan dalam kerangka kerjasama politik, ekonomi dan sosial ASEAN, sekali gus memperkukuh peranan blok itu sebagai entiti serantau yang inklusif dan dinamik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top