Keanu dicabar kumpul 'followers' tinggi sebelum layak sertai uji bakat

Keanu dicabar kumpul 'followers' tinggi sebelum layak sertai uji bakat

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengacara dan pelakon Keanu Azman pernah disindir dan dicabar sebuah produksi filem untuk kumpul ‘followers’ sebanyak yang pelakon Nora Danish miliki sebagai syarat layak datang uji bakat.

Keanu atau nama sebenarnya Mohamad Keanudin Mohamad, 29, berkata meskipun masih belum beroleh jumlah pengikut yang tinggi sehingga kini, dia bersyukur berjaya ‘tembus’ industri hiburan.

“Saya masih ingat sewaktu pergi uji bakat di sebuah syarikat filem terkenal hanya semata-mata dibandingkan dengan jumlah pengikut Nora Danish.

“Individu itu siap cakap kalau saya dapat ‘followers’ Nora Danish dalam dua minggu, baru datang balik. Jauh dalam lubuk hati saya berkata kamu sabar dulu.

“Saya berazam untuk merealisasikan impian saya sama ada banyak pengikut atau tidak. Masih belum cecah jutaan (pengikut), tapi saya berjaya masuk industri,” katanya.

Pelakon drama Mandul Bukan Pilihan itu berkongsi pengalamannya rentetan daripada sebuah hantaran seorang wanita yang menempuh insiden penuh pengajaran sewaktu hadir ke uji bakat jadi hos TV.

“Kalau kamu mempunyai kesungguhan untuk berada dalam industri hiburan, tolong jangan mengalah disebabkan pengalaman begini,” katanya.

Dalam hantaran wanita terbabit, dia menyatakan uji bakat berkenaan adalah percubaannya yang terakhir kerana dia akur dirinya tidak ramai pengikut media sosial.

Menurutnya, pembantu penerbit program dihadirinya untuk uji bakat itu memperlekeh dirinya dan mempersoal siapa akan menonton kalau dia diambil sebagai hos.

“Dan itulah kali terakhir saya pergi uji bakat untuk jadi hos program TV. Sebab? Sebab saya sedar diri, saya tiada ‘followers’ ratus ribu,” luahnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top