Kebajikan pekerja gig diperkukuh menerusi latihan, perlindungan sosial

Kebajikan pekerja gig diperkukuh menerusi latihan, perlindungan sosial
Kebajikan pekerja gig diperkukuh menerusi latihan, perlindungan sosial

Ramanan (tiga dari kanan) beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Majlis Penghargaan Rakan Grab yang menghimpunkan rakan pemandu dan penghantar dari kawasan Parlimen Sungai Buloh pada Sabtu.

KUALA LUMPUR – Kerajaan terus memperkukuh kebajikan serta masa depan pekerja gig menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif melibatkan perlindungan sosial, peningkatan kemahiran dan pembangunan kerjaya.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, antara usaha yang sedang dilaksanakan termasuk Pakej Daya Tahan Ekonomi (PACE) yang diumumkan kerajaan dengan peruntukan lebih RM710 juta.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, RM20 juta diperuntukkan khusus bagi membantu meningkatkan daya tahan ekonomi pekerja gig termasuk pemandu e-panggilan dan penghantar p-panggilan.

“Kerajaan komited memperkukuh ekosistem pekerjaan gig supaya lebih stabil, inklusif dan mampan untuk jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Rakan Grab yang menghimpunkan hampir 1,000 rakan pemandu dan penghantar dari kawasan Parlimen Sungai Buloh pada Sabtu.

Ramanan (tengah) bergambar bersama tetamu yang hadir pada Majlis Penghargaan Rakan Grab yang menghimpunkan rakan pemandu dan penghantar dari kawasan Parlimen Sungai Buloh pada Sabtu.

Ramanan (tengah) bergambar bersama tetamu yang hadir pada Majlis Penghargaan Rakan Grab yang menghimpunkan rakan pemandu dan penghantar dari kawasan Parlimen Sungai Buloh pada Sabtu.

Tambah beliau, kerajaan turut melaksanakan program berkaitan kecerdasan buatan dan peningkatan kemahiran digital menerusi AI MyMahir bagi memberi pendedahan kepada teknologi baharu dalam pasaran pekerjaan semasa.

Katanya, pekerja gig juga berpeluang mengikuti latihan teknikal menerusi ADTEC Jabatan Tenaga Manusia (JTM) bagi meningkatkan kemahiran dan daya saing mereka.

“Selain itu, pekerja turut boleh memanfaatkan platform MYFutureJobs oleh PERKESO bagi mendapatkan peluang pekerjaan dan peningkatan kerjaya yang lebih luas,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebuah portal e-aduan pekerja gig turut diwujudkan bagi memudahkan akses kepada maklumat berkaitan hak pekerjaan, perlindungan sosial serta saluran aduan secara lebih sistematik.

Menurutnya, pembangunan sektor gig memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, syarikat penyedia platform dan pekerja sendiri bagi memastikan kebajikan golongan itu terus terbela.

“Kerjasama semua pihak amat penting supaya sektor gig terus berkembang secara sihat dan memberi manfaat kepada pekerja serta ekonomi negara,” katanya.

Pada majlis sama, Ramanan turut menyampaikan sumbangan kepada rakan Grab sebagai tanda penghormatan atas dedikasi mereka dalam membantu melancarkan urusan harian masyarakat.

 

 

Scroll to Top