safeek@bh.com.my
Seri Kembangan: Kebakaran berlaku di lereng bukit Puncak Jalil, dekat sini merebak ke keluasan lebih besar berbanding ketika dikesan petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, setakat 9 malam tadi, keluasan kebakaran sudah menjangkau lebih dua hektar.
“Pada masa ini kerja pemadaman masih dilakukan dengan keseluruhan jumlah kekuatan anggota bomba 27 orang.
“Kerja pemadaman membabitkan pegawai dan anggota dari Balai Bomba Penyamat (BBP) Seri Kembangan, BBP Cyberjaya, BBP Puchong, BBP Subang Jaya dan BBP Penchala dengan keseluruhan enam jentera dan tiga ambulans,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Mukhlis berkata, berdasarkan laporan komander operasi petang tadi, kebakaran berkenaan berlaku di kawasan hutan lereng bukit seluas 1.2 hektar, namun tidak membabitkan mangsa atau struktur kediaman atau perniagaan.
Dalam kejadian itu, pihak bomba yang menerima panggilan pada 4.12 petang, dimaklumkan kebakaran di kawasan hutan lereng bukit dengan anggaran keluasan kira-kira 0.3 hektar.
Berdasarkan maklumat diterima pegawai bertugas di lokasi, luas kawasan terbakar 500 meter × 300 meter dan dibahagikan kepada enam sektor tugas pemadaman.
Katanya, jarak keluasan tempat kejadian dengan kawasan kediaman berhampiran adalah sejauh 150 meter, namun ia dihalangi longkang besar.
“Pada masa ini kita sedang melaksanakan proses ‘Fire Break’ iaitu menghalang api merebak ke kawasan kediaman berkenaan,” katanya.
Kejadian kebakaran ini dapat dilihat dengan lebih jelas oleh pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX), disebabkan ia berlaku bersebelahan lebuh raya berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




