am@hmetro.com.my
Kuantan: Kebakaran tiga kawasan di Tapak Pelupusan Sampah Jerangau-Jabor di Gebeng, di sini sejak Selasa lalu kini dalam keadaan terkawal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng, Zahidah Ali berkata, setakat ini, kerja timbus tanah dan pemadaman sedang dilakukan di Sel A1, manakala kebakaran bagi Sel A2 dan A3 berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Bagaimanapun katanya, pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaan benar-benar terkawal.
“Kami menerima panggilan kebakaran pada 7.51 malam Selasa lalu dan seramai 10 anggota BBP Gebeng ke lokasi.
“Seramai lima anggota, masing-masing digerakkan ke tapak pelupusan semalam (Rabu) dan hari ini (Khamis) untuk memastikan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya dan keadaan terkawal,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, menerusi laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana di Balok Baru dan Indera Mahkota setakat 5 petang Khamis.
Balok Baru mencatat bacaan IPU 62 manakala Indera Mahkota pula 54.
Rompin merekodkan IPU 54, diikuti Temerloh (60) dan Jerantut (57).
Berdasarkan IPU, pengelasan tahap kualiti udara antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300), berbahaya (310-400), sangat berbahaya (401-500) dan kecemasan (lebih 500).
© New Straits Times Press (M) Bhd




