Kebakaran hutan di Salak Tinggi berjaya dipadam selepas 13 jam

Kebakaran hutan di Salak Tinggi berjaya dipadam selepas 13 jam

Putrajaya: Kebakaran hutan di Salak Tinggi, Sepang yang melanda semalam, berjaya dipadamkan awal pagi ini selepas hampir 13 jam operasi pemadaman dijalankan.

Ketua Zon 5 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Mohamad Issmanto Md Pono berkata, kawasan kebakaran merebak kepada 8.09 hektar akibat cuaca panas dan tiupan angin.

“Kebakaran berjaya dipadamkan 5.37 pagi tadi dan tidak membabitkan struktur bangunan atau mangsa,” katanya dihubungi.

Bomba menerima panggilan kebakaran, 4.32 petang semalam, membabitkan kawasan seluas 0.49 hektar namun merebak sehingga 2.43 hektar, setakat 9 malam tadi.

Kebakaran dapat dikawal 2.57 pagi dengan 80 peratus kawasan terbakar telah dipadamkan, disusuli kerja pemadaman rapi bagi memastikan tiada nyalaan semula.

Operasi membabitkan 61 anggota, empat jentera dan sebuah lori tangki.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top