am@hmetro.com.my
Shah Alam: Berbaki tiga hektar sahaja lagi untuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memadamkan kebakaran kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS) Sungai Kelambu, Banting Kuala Langat.
Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Cik Hamdan Hamzah berkata, kejadian yang memasuki hari ketiga itu menyaksikan kebakaran masih lagi aktif.
Beliau berkata, pihaknya mengesan terdapat hotspot kecil namun ia tidak menjejaskan penempatan berhampiran dan Loji Rawatan Air (LRA) berdekatan.
“Untuk makluman, kebakaran berjaya dipadamkan sebanyak 19 hektar dan baki yang tinggal adalah tiga hektar.
“Terdapat tiga pasukan bagi tindakan operasi. Pasukan A membuat pemadaman menggunakan pancutan pam Tohatsu Air terbuka.
“Manakala pasukan B menggunakan air tangki pam jentera bomba dan pasukan C pula membuat pemantauan dan pemadaman menggunakan ‘fire bitter’ kerana tiada akses laluan kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media sebelum ini melaporkan kira-kira empat hektar hutan simpan di Kuala Langat dilaporkan terbakar.
Kebakaran itu kemudian merebak sebanyak 22 hektar dan anggota bomba berjaya memadamkan sebanyak 14 hektar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




