am@hmetro.com.my
Kulai: Lebih 6,000 pelajar yang terjejas berikutan penutupan sementara sekolah susulan kebakaran sebuah kilang getah di Sengkang, di sini sejak kelmarin akan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, arahan penutupan itu dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kulai sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan dan kesihatan warga sekolah sentiasa terpelihara.
Katanya, sekolah yang terbabit ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sengkang iaitu seramai 153 murid dan 16 guru; SJKC Kulai Besar (1,345 murid, 71 guru); Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Kulai (1,191 murid, 77 guru); SK Taman Kota Kulai 2 (1,210 murid, 82 guru); Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kota Kulai (1,020 murid, 71 guru); SMK Taman Putri (1,128 murid, 91 guru) serta Sekolah Agama Taman Kota Kulai.
“Setakat hari ini, tujuh sekolah diarahkan tutup sementara sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kemudian dan pihak sekolah diminta melaksanakan PdPR,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.
Terdahulu, media melaporkan kebakaran kilang berkenaan jam 4.37 petang kelmarin dengan operasi memadamkan kebakaran yang memasuki hari ketiga hari ini mencapai 90 peratus pemadam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




