am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan mengambil tindakan undang-undang kepada pemilik yang menyewakan tanah kepada lima kilang haram yang terbabit kebakaran di Jalan Cenderai, Taman Kota Puteri, Masai, di sini, akhir bulan lalu.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata pihaknya dan agensi berkaitan telah mengenal pasti pelanggaran undang-undang tanah, alam sekitar, keselamatan, pelesenan dan pengurusan sisa.
Katanya, tanah berkeluasan 1,000 meter persegi itu disewakan kepada lima premis yang tiada lesen.
“Hanya satu kilang iaitu kilang penyimpanan minyak kelapa sawit memiliki lesen sah. Lima kilang ini menyewa dengan pemilik tanah
“Semua premis perusahaan perlu mendapat kebenaran dari agensi berkaitan sebelum melaksanakan suatu bentuk perniagaan dan perusahaan.
“Kegagalan untuk mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan bukan sahaja boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan, ia juga mengundang risiko keselamatan nyawa dan harta orang sekeliling,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat MBJB di Menara MBJB di sini, hari ini.
Menurut Mohd Haffiz, pihaknya melakukan tindakan awal dengan membantu membina kolam takungan dalam kawasan kebakaran bagi menampung minyak dari memasuki longkang sekitar lokasi.
Katanya hasil pemantauan di tapak pada 23 Jun lalu juga mendapati sisa minyak di saliran dan longkang utama berkurangan selepas tindakan diambil Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Pada 21 Jun lalu, tiga kilang dan 15 kenderaan musnah sepenuhnya dalam kebakaran membabitkan kawasan seluas kira-kira 1,000 meter persegi di Kawasan Perindustrian Kota Puteri, berhampiran Taman Megah Ria, dekat Pasir Gudang.
Premis itu membabitkan kilang penyimpanan minyak hitam terpakai, kilang pemprosesan sabun dan kawasan parkir lori.
© New Straits Times Press (M) Bhd