Kebakaran pelabuhan UAE, Iran salahkan ‘campur tangan’ AS

Kebakaran pelabuhan UAE, Iran salahkan ‘campur tangan’ AS
Kebakaran pelabuhan UAE, Iran salahkan ‘campur tangan’ AS

Kebakaran dilaporkan berlaku di Pelabuhan Fujairah pada 4 Mei 2026. – Foto: Agensi

FUJAIRAH – Ketegangan di Selat Hormuz terus memuncak apabila kebakaran besar melanda fasiliti minyak di Fujairah, Emiriah Arab Bersatu (UAE), susulan dakwaan serangan dron yang dikaitkan dengan Iran.

Pihak berkuasa UAE memaklumkan kebakaran berlaku di zon industri minyak Fujairah pada 4 Mei, selepas sebuah dron dilancarkan dari Iran mengenai kawasan berkenaan.

Insiden itu menyebabkan sekurang-kurangnya tiga individu cedera dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Bagaimanapun, sumber media Iran, Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB), menafikan serangan itu dirancang, sebaliknya menyifatkan kejadian tersebut sebagai ‘akibat langsung’ tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di laluan perairan strategik itu.

Menurut sumber ketenteraan Iran, tindakan Washington membuka laluan kapal secara paksa di Selat Hormuz telah mencetuskan ketegangan berbahaya yang akhirnya membawa kepada insiden tersebut.

Teheran turut menegaskan AS perlu bertanggungjawab terhadap ketidakstabilan yang berlaku di rantau itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden AS,Donald Trump dilaporkan mengarahkan operasi ketenteraan bagi mengawal semula laluan perdagangan di Selat Hormuz, yang sebelum ini disekat Iran susulan konflik sejak akhir Februari lalu.

Langkah itu mencetuskan tindak balas keras daripada Iran, termasuk amaran bahawa sebarang kapal atau aset tentera yang melanggar peraturan mereka di selat berkenaan akan dikenakan tindakan tegas.

Pada masa sama, Tentera Laut Iran mengesahkan telah melepaskan peluru berpandu dan dron sebagai amaran kepada kapal perang AS yang menghampiri kawasan tersebut, dengan mendakwa kapal berkenaan mengabaikan amaran awal.

Situasi semakin tegang apabila dua kapal pemusnah AS dilaporkan berjaya melalui Selat Hormuz walaupun berdepan serangan dron, peluru berpandu dan bot laju Iran, menandakan risiko konflik terbuka masih tinggi walaupun gencatan senjata rapuh masih berkuat kuasa sejak awal April.

Penganalisis melihat perkembangan ini sebagai peningkatan serius konflik serantau, yang bukan sahaja mengancam keselamatan maritim, malah berpotensi menggugat bekalan tenaga global memandangkan Selat Hormuz merupakan antara laluan minyak paling kritikal di dunia.-Agensi

Scroll to Top