mhafis@mediaprima.com.my
Subang Jaya: Sehingga kini, polis sudah merakam keterangan 186 saksi berhubung insiden kebakaran saluran gas Putra Heights, di sini, 1 April lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, selain 138 mangsa kebakaran itu, polis turut merakam keterangan enam wakil Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan seorang Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
Menurutnya, turut dirakam keterangan wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Petronas, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Kementerian Kesihatan, pakar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pemaju serta kontraktor.
“Sehingga 8 pagi tadi, sebanyak 774 laporan polis juga diterima berkaitan kemalangan ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hussein berkata, pihak Petronas Gas Berhad, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kini sedang melakukan kerja-kerja pembaikan di lokasi ‘ground zero’.
“Unit Dron Pasukan Gerakan Udara PDRM meneruskan tinjauan udara waktu malam di lokasi ground zero bagi membantu Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) memantau kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan bencana,” katanya.
Dalam pada itu katanya, Ops Mega Pembersihan yang memasuki hari kedua hari ini dijalankan di kawasan Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru yang disahkan selamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor (JBPM) dan JKR.
“Seramai 137 pegawai dan anggota PDRM terlibat dalam Ops Mega Pembersihan dengan 40 orang dalam penugasan kawalan keselamatan dan 97 orang dalam penugasan pembersihan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd