hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Subang Jaya: Kawasan insiden kebakaran akibat kebocoran saluran paip gas yang berlaku di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights di sini, selamat setakat ini selepas kandungan gas dalam saluran paip berkenaan dikesan sudah tiada.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat berkata, ketika ini kerja pemulihan sedang dilakukan di lokasi kejadian dengan pihak Petronas terus menjalankan pemantauan.
“Kita masih lagi memantau kandungan gas dalam saluran dan setakat ini, kandungan gas dalam saluran sudah kosong bar (bacaan kandungan gas).
“Kerja pemulihan dalam kawasan kejadian adalah selamat dan tiada lagi gas dikesan di kawasan kejadian,” katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini, hari ini.
Beliau berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) juga sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca letupan saluran berkenaan merangkumi integriti paip berkenaan.
Katanya, pihak bertanggungjawab juga akan menilai integriti dua lagi saluran paip jika masih baik ataupun sebaliknya bermula, esok.
Dalam pada itu, Wan Azlan berkata, siasatan lanjut mengenai insiden berkenaan sedang dijalankan serta pihaknya akan memanggil pihak kontraktor yang terbabit dalam insiden itu.
Terdahulu media melaporkan, kebakaran paip gas berkenaan, semalam diibaratkan seolah-olah letusan gunung berapi sehingga bahang daripada api itu masih terasa sehingga 600 meter.
Setakat malam ini, seramai 393 mangsa daripada 99 keluarga yang terjejas akibat kebakaran saluran paip gas berkenaan ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS).
© New Straits Times Press (M) Bhd




