Kebakaran velodrom Rio berjaya dikawal

Kebakaran velodrom Rio berjaya dikawal

Rio de Janeiro: Kebakaran yang berlaku di velodrom di Taman Olimpik Rio berjaya dikawal tanpa sebarang kecederaan dilaporkan, menurut pihak bomba.

Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4.17 pagi waktu tempatan dengan kira-kira 60 anggota bersama 20 jentera dikerahkan ke lokasi bagi memadam kebakaran.

Velodrom berkenaan yang dibina sempena Sukan Olimpik Rio 2016 turut menempatkan Muzium Olimpik yang menyimpan pelbagai artifak bersejarah termasuk obor dan pingat temasya itu.

Menurut pegawai bomba, operasi pemadaman dilakukan dari dalam dan luar bangunan, selain usaha turut difokuskan untuk melindungi bahan pameran yang berisiko terjejas.

Datuk Bandar Rio de Janeiro, Eduardo Cavaliere berkata, kebakaran itu sempat merebak ke bahagian siling kanvas sebelum berjaya dikawal.

“Velodrom dan Muzium Olimpik hanya mengalami kerosakan kecil,” katanya.

Pakar forensik kini sedang menilai tahap kerosakan sebenar akibat insiden berkenaan.

Velodrom itu adalah pusat berbasikal trek utama Brazil selain menjadi lokasi latihan bagi atlet berbasikal dan angkat berat negara berkenaan.

Untuk rekod, struktur bumbung velodrom itu pernah dilaporkan mengalami dua insiden kebakaran kecil pada 2017.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top