Lisbon: Sporting Lisbon mencipta kebangkitan menakjubkan untuk menamatkan perjalanan dongeng Bodo/Glimt dalam Liga Juara-Juara Eropah apabila menewaskan pasukan Norway itu 5-0 selepas masa tambahan untuk mara ke suku akhir dengan agregat 5-3 pada pusingan 16 terakhir.
Ketinggalan 0-3 daripada perlawanan pertama di Norway, Sporting menyerang sejak sepak mula dan mendahului pada minit ke-34 apabila Goncalo Inacio menanduk masuk hantaran sepakan sudut Francisco Trincao.
Percubaan pasukan pelawat terkena palang sebelum separuh masa pertama berakhir, namun Sporting menjaringkan gol kedua pada minit ke-61 apabila Pedro Goncalves menyudahkan hantaran rendah Luis Suarez dan menyamakan agregat apabila Suarez menjaringkan penalti pada minit ke-78 selepas semakan VAR.
Sporting hanya memerlukan kurang dua minit masa tambahan untuk gol keempat apabila Maxi Araujo menolak masuk bola, diikuti gol kelima daripada pemain gantian Rafael Nel pada waktu tambahan, memastikan juara Portugal berturut-turut itu mara ke suku akhir.
“Kami sentiasa percaya dengan sokongan penonton yang luar biasa ini, kami mampu melakukannya,” kata Araujo kepada wartawan. “Ia sungguh menakjubkan, kami berikan usaha terbaik dan ia membuahkan hasil. Saya sangat bangga dengan kumpulan ini dan gembira dapat memberikan penyokong malam yang akan mereka ingat.”
Sebelum ini, Bodo/Glimt menewaskan Manchester City, Atletico Madrid dan Inter Milan dua kali dalam menerusi aksi luar biasa sebelum mudah menang 3-0 ke atas Sporting di Norway.
© New Straits Times Press (M) Bhd



