am@hmetro.com.my
Kuala Berang: Bedah siasat ke atas mayat Musa Ahmad, 65, yang ditemukan di Kampung Basung, di sini, mendapati warga emas itu cedera di kepala, dada dan tangan akibat tekanan objek berat, dipercayai akibat dipijak gajah.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, bedah siasat dijalankan Hospital Hulu Terengganu (HHT) selepas mayat mangsa ditemukan kira-kira 7 pagi tadi.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Orang ramai dinasihatkan supaya memaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara atau polis sekiranya menyedari kehadiran haiwan liar di penempatan dan kebun untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan, pihaknya menerima laporan kehilangan menyatakan Musa tidak pulang sejak keluar dari rumah ke kebunnya, semalam.
Kira-kira 7 pagi tadi, mangsa ditemukan meninggal dunia di kawasan cerun di bawah kawasan talian kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) kira-kira 100 meter dari kebun mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd
