Kecederaan lebur impian Draper

Kecederaan lebur impian Draper

London: Jack Draper tidak akan beraksi lagi musim ini akibat kecederaan tangan yang memaksanya menarik diri daripada Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Pemain nombor satu Britain berusia 23 tahun itu meninggalkan New York sebelum perlawanan pusingan kedua selepas kecederaan pada tangannya menjadi semakin teruk.

Draper, yang kini berada di ranking ketujuh dunia, tidak beraksi dalam acara perseorangan sejak Wimbledon akibat lebam pada bahagian tangan kirinya walaupun pasukannya yakin imbasan sebelum Terbuka AS menunjukkan dia sudah pulih sepenuhnya.

Namun selepas menewaskan pemain kelayakan Argentina, Federico Agustin Gomez pada pusingan pertama, Draper pulang ke tanah air dan kini berkata dia perlu berehat serta menamatkan musim lebih awal.

“Ia sangat sukar untuk saya terima kerana saya sedang membina momentum yang luar biasa tahun ini dan bermain dengan sangat baik.

“Namun, saya pernah melalui situasi ini sebelum ini dan saya sentiasa kembali lebih kuat kerana saya sangat bermotivasi untuk mencapai potensi sebenar sebagai seorang pemain,” tulisnya di akaun media sosial miliknya.

Perkembangan terbaru itu bermakna Draper tidak dapat merealisasikan sasaran musim ini untuk layak ke ATP Finals di Turin pada November nanti, buat kali pertama dalam kariernya.

Dia berada dalam kedudukan terbaik untuk layak selepas menjuarai kejohanan ATP 1000 pertamanya di Indian Wells pada Mac lalu dan muncul naib juara di Madrid pada Mei.

Draper juga dijangka kehilangan tempatnya dalam kelompok 10 terbaik dunia menjelang penghujung tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top