Kecederaan Pearly tak serius

Kecederaan Pearly tak serius

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Peminat badminton tanah air mungkin boleh menarik nafas lega apabila kecederaan yang dialami pemain beregu wanita negara, Pearly Tan pada aksi separuh akhir Indonesia Masters tidak serius.

Menurut Pearly, dia dan pasangannya M Thinaah, akan berehat seketika untuk menganalisis permainan mereka dalam tiga kejohanan sebelum ini bagi meningkatkan lagi prestasi mereka untuk kejohanan akan datang.

“Sebenarnya pada aksi itu, (lutut) terhentak kuat diatas lantai. Apapun ia bukan kecederaan yang serius.

“Selepas ini kami akan pulang kembali ke Malaysia dan berehat serta menganalisis kesemua perlawanan yang kami kalah.

“Kami perlu cari apa yang boleh dan perlu ditambah baik untuk kejohanan yang akan datang,” katanya.

Pada aksi yang berlangsung di Istora Senayan, Indonesia, anak jati kedah itu dilihat dilihat cuba menahan sakit pada bahagian lutut sekali gus menyaksikan dia dan pasangannya, M Thinaah akur tumpas 14-21, 19-21 kepada pasangan berpengalaman dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota.

Dalam aksi memakan masa selama 51 minit itu, kedua-dua beregu menampilkan aksi cukup baik, namun ketenangan yang ditunjukkan Hirota-Fukushima menyaksikan mereka mendapat kelebihan ke atas juara Terbuka Perancis 2022 itu.

“Mereka (Fukushima-Hirota) lebih sabar dan tenang berbanding kami. Malah shot yang dilakukan mereka memberi tekanan buat kami.

“Kami juga kerap mahu mematikan bola pada aksi ini. Jadi perlu ambil pengajaran dari aksi ini untuk perlawanan yang akan datang,” kata Thinaah.

© New Straits Times Press (M) Bhd