Kecederaan Syahir cetus resah kem negara

Kecederaan Syahir cetus resah kem negara

KUALA LUMPUR: Kem sepak takraw negara berdepan debaran menjelang aksi separuh akhir acara regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 apabila tekong utama, Syahir Rosdi, diragui dapat diturunkan selepas mengalami kecederaan ketika aksi suku akhir menentang Jepun, sebentar tadi.

Situasi itu mencetuskan kebimbangan apabila Syahir yang menjadi sandaran utama skuad negara mengalami ketegangan otot di bahagian kiri lutut pada penghujung set pertama ketika mengetuai regu pertama bersama Azlan Alias dan Farhan Adam sekaligus menyaksikan tekong kelahiran Pulau Pinang itu dibawa keluar serta digantikan oleh Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican.

Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun berkata, pihaknya kini menunggu laporan penuh pasukan perubatan sebelum sebarang keputusan mengenai status pemain itu dibuat.

“Syahir mengalami ketegangan otot di bahagian kiri lutut dan kita harap rawatan dapat dijalankan sebaik mungkin sebelum aksi separuh akhir nanti.

“Ketika ini saya masih menunggu laporan pasukan perubatan sebelum menilai percaturan terbaik untuk pasukan,” katanya selepas kemenangan 2-0 ke atas Jepun.

Dalam masa sama, Ahmad Jais mengakui kemungkinan rombakan terpaksa dilakukan sekiranya Syahir gagal pulih mengikut jadual.

Menurutnya, kehilangan pemain berpengalaman seperti Syahir pasti memberi kesan kepada pasukan, namun situasi luar jangka sebegitu perlu diterima secara profesional.

“Kalau keadaan dia tidak mengizinkan, kita akan lakukan beberapa perubahan pemain.Dalam sukan, macam-macam boleh berlaku.

“Memang semangat juang Syahir sangat tinggi, tetapi kita juga tidak mahu mengambil risiko lebih besar terhadap kecederaannya,” katanya.

Syahir sebelum itu terpaksa meninggalkan gelanggang sebelum tempatnya diisi Zarif Marican Ibrahim Marican.

Kehadiran Zarif bagaimanapun tidak menjejaskan rentak pasukan apabila dia membantu regu negara mengekalkan momentum sebelum menghadiahkan mata pertama buat Malaysia dalam laluan ke separuh akhir. – UTUSAN

Scroll to Top