Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mengesahkan bahawa kecederaan dialaminya ketika terbabit dalam kemalangan pada saingan acara keirin di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Turkiye semalam tidak serius.
Nurul Izzah, yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketwoman’, berkata impak kecederaan yang dialaminya pada pusingan pertama repechage di Velodrom Konya menyebabkan lututnya bengkak.
“Lutut saya ada bengkak sedikit. Nanti saya akan membuat pemeriksaan lanjut di ISN (Institut Sukan Negara) setibanya di Malaysia tetapi secara keseluruhan semuanya okay,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Terdahulu, dia memaklumkan perkembangan terkininya menerusi hantaran di laman Instagram dengan kapsyen ‘Nothing serious’ berserta video insiden malang yang menimpanya.
Insiden tersebut menyaksikan Nurul Izzah terjatuh selepas berlanggar dengan Makaira Wallace dari Trinidad dan Tobago ketika cuba memintas lawannya itu.
Nurul Izzah yang terbaring di trek tidak dapat meneruskan kayuhan, sekali gus gagal menamatkan perlumbaan, manakala Wallace mengakhiri saingan di tempat ketiga.
Pelumba berusia 21 tahun itu terpaksa berlumba di pusingan repechage selepas menamatkan saingan di tempat keempat dalam saringan enam.
Sabtu lalu, pelumba kelahiran Sungai Petani, Kedah itu meleburkan rekod kebangsaan miliknya dalam acara pecut individu pada kejohanan yang sama selepas mencatat 10.578 saat (s) dalam pusingan kelayakan.
Catatan itu memadamkan rekod 10.658s yang dilakukannya pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 di Nilai, Negeri Sembilan bulan lalu.
Kejohanan Piala Negara-Negara UCI yang bermula Jumaat lalu melabuhkan tirainya semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




