Kecekalan 31 usahawan tempatan diiktiraf Shopee Juara Lokal

Kuala Lumpur: Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Shopee melancarkan kempen Shopee Juara Lokal bagi meraikan 31 usahawan tempatan yang menunjukkan daya usaha luar biasa dalam membina perniagaan masing-masing.

Kohort sulung ini menampilkan usahawan dari pelbagai negeri dan latar belakang perniagaan.

Menerusi platform digital, mereka membuktikan perdagangan dalam talian bukan sahaja membuka ruang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk berkembang, malah membawa identiti tempatan ke pasaran yang lebih luas.

Ketua Dasar Awam dan Hal Ehwal Luaran Shopee Malaysia, Nik Emir Nik Din berkata, setiap perniagaan menyimpan kisah tersendiri yang lahir daripada pengalaman peribadi serta keazaman membina sesuatu yang bermakna.

“Apabila perniagaan ini berkembang, ia bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan, malah membuka lebih banyak ruang untuk produk dan tradisi Malaysia diketengahkan.

“Kami berharap kisah mereka dapat menjadi inspirasi kepada generasi usahawan seterusnya,” katanya.

Antara usahawan yang mencuri tumpuan termasuk Emilhan Mokhtar, 32, pengasas Kita Shop Sabah dari Kota Kinabalu.

Bermula dengan modal pinjaman RM2,000 daripada kakaknya pada 2020, dia memodenkan perniagaan mutiara keluarga.

Kini, perniagaannya berkembang daripada operasi seorang diri di rumah kepada pusat pameran di Wisma Sabah serta gudang di Semenanjung Malaysia.

Kisah menyentuh hati turut dibawakan oleh pengasas bersama Love Earth Organic, Samantha dan Natasha Mah.

Selepas kehilangan ibu akibat kanser pada 2011, mereka bertekad menyediakan pilihan makanan organik mampu milik. Jenama itu kini menembusi lebih 4,600 cawangan runcit dan dieksport ke 14 negara.

Selain itu, kempen ini turut menyoroti jenama seperti Russell Taylors yang diasaskan Satish Kumar Raguchandran serta MILK™ oleh Datuk Kamarudin Meranun.

Kepelbagaian produk tempatan turut diketengahkan menerusi segmen fesyen dan aksesori menerusi jenama seperti a.lyanaa, Celovis, Dr Cardin, Lyden, My Ballerine, Ozel Jewellery, Rimbun KL dan Tudung Kekaboo.

Bagi penggemar kulinari dan makanan sihat, usahawan tempatan seperti Frisha Classic Desserts, Minnifood.my, Meet Mee serta TemTemSabah turut menawarkan pilihan hidangan unik dan tradisional.

Inovasi barangan pengguna terus diperkasa menerusi produk kesihatan dan penjagaan diri daripada HealEz, Moodfree, SkinMade dan The Milk Inc (MILK™).

Dalam pada itu, sektor kelengkapan rumah dan gaya hidup dimanfaatkan sepenuhnya oleh Montigo, Oxwhite, PerySmith, Russell Taylors serta TT Racing bagi memenuhi keperluan harian rakyat Malaysia.

Industri kreatif dan bahan bacaan turut mendapat tempat menerusi penglibatan Karangkraf Mall, Karyaseni & Penulisan2U, serta studio animasi Monsta.

Ekosistem perniagaan ini dilengkapkan lagi dengan tawaran barangan automotif dan penjagaan haiwan daripada Gun Pet Outlet, Kamatto, Serv Auto, Trapo serta barangan keperluan ibu dan anak daripada MommyHana.

Shopee turut menampilkan siri video temu bual khas menerusi saluran Instagram dan YouTube Shopee Malaysia bagi membolehkan orang ramai mengenali perjuangan usahawan ini secara lebih dekat.

Layari laman rasmi Shopee di https://shopee.com.my/m/shopeejuaralokal-bm untuk maklumat lanjut mengenai jenama tempatan ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top