Kecelaruan surat RoS : Bukti Zahid jadi liabiliti kerajaan Anwar

Kecelaruan surat RoS : Bukti Zahid jadi liabiliti kerajaan Anwar

PUTRAJAYA: Kecelaruan berhubung surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengenai pemilihan UMNO menguatkan lagi hujah umum mengenai Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah liabiliti kepada kerajaan.

Pengendalian usul dua jawatan utama UMNO tidak dipertandingkan menyebabkan kekuatan kerajaan menjadi rapuh.

Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, justeru, beliau berpandangan adalah lebih baik Ahmad Zahid berehat seketika sebagai Presiden UMNO sehingga isu melibatkan proses pemilihan selesai.

Katanya, langkah itu seperti mana beliau mengambil keputusan sama berehat dari jawatan Presiden suatu ketika dahulu dan boleh menyerahkan tugas jawatan mengemudi parti kepada timbalan.

“Ahmad Zahid boleh fokuskan kepada tugasan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Isu pemilihan ini bukan saja menjadi sasaran parti pembangkang tetapi turut mendapat tekanan ahli dan pemimpin kanan UMNO sendiri,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas surat RoS yang tular ketika ini mengenai usul khas yang dibawa semasa Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Susulan itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim akan mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat berhubung kewujudan surat berkenaan mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) bagi menuntut Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi penjelasan mengenai ketulenan surat berkenaan.

Usul tergempar itu juga menuntut KDN menjelaskan mengenai pengecualian yang diberikan kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.

Dalam pada itu, Menurut Mohammad Tawfik, tekanan-tekanan tekanan ini merupakan beban kepada Presiden dan tidak sepatutnya memberi kesan negatif kepada masa depan dan keyakinan ahli serta rakyat kepada parti.

“Bagi saya Ahmad Zahid perlu mengambil tindakan berehat segera, jangan ditangguh lagi kerana semakin lama dibiarkan isu ini berlarutan akan lebih melemahkan UMNO sendiri,” katanya. – UTUSAN