Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pendidikan Sains

Kuala Lumpur: Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI) kini menjadi nadi kepada pelbagai inovasi pendidikan abad ke-21. Dalam subjek Sains khususnya, penggunaan AI dilihat mampu membawa transformasi besar dalam pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menjadikan proses tersebut lebih bersifat peribadi, efisien dan menarik. Namun begitu, sejauh manakah keberkesanan AI dalam membantu meningkatkan prestasi pelajar? Adakah teknologi ini benar-benar inklusif atau hanya mencipta jurang baharu?

Personalisasi Pembelajaran dan Automasi Tugas

Kecerdasan buatan membuka peluang luas untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam subjek sains. Melalui AI, pelajar kini boleh mengakses kandungan pembelajaran yang direka mengikut tahap kefahaman mereka. Sistem pintar ini dapat menganalisis corak pembelajaran, mengenalpasti kelemahan pelajar dan mencadangkan modul pengukuhan secara automatik.

AI berupaya mencipta persekitaran pembelajaran yang membolehkan pelajar menyesuaikan gaya dan kadar pembelajaran mereka mengikut keperluan individu. Melalui aplikasi dan platform pembelajaran yang berasaskan AI seperti sistem pembelajaran adaptif dan tutor pintar, pelajar boleh belajar pada bila-bila masa dan di mana sahaja tanpa bergantung sepenuhnya kepada guru. Teknologi ini menyokong pembelajaran kendiri dengan menyediakan pelbagai bentuk bahan interaktif seperti video penerangan, kuiz automatik, nota digital, dan maklum balas segera yang membina. Sebagai contoh Socratic yang membantu pelajar mencari jawapan dengan menganalisis gambar atau teks. Ini memberi ruang kepada pelajar untuk menjadi lebih aktif, berdikari dan bertanggungjawab dalam proses pembelajaran mereka.

Lebih daripada itu, AI juga sangat berkesan dalam membantu pelajar yang mempunyai kelemahan tertentu dalam subjek atau topik pembelajaran. Melalui keupayaan analisis data yang canggih, sistem AI juga dapat mengenal pasti dengan tepat sesuatu perkara yang sukar difahami oleh pelajar. Misalnya, jika pelajar kerap membuat kesilapan dalam sesuatu jenis soalan matematik, sistem AI dapat mengesan corak kesilapan tersebut dan mencadangkan latihan tambahan atau video bimbingan khusus yang menyasarkan kelemahan tersebut. Sebagai contoh ALEKS (Assessment and Learning in Knowledge Spaces) yang dapat mengenal pasti tahap penguasaan pelajar dalam sesuatu bidang dan mencadangkan topik yang perlu ditekankan secara automatik.

Inilah yang dimaksudkan dengan bimbingan yang bersasar kepada AI yang menyediakan bantuan yang tepat, cepat dan diperibadikan berdasarkan keperluan sebenar setiap pelajar.

Jurang Digital, Privasi Data dan Peranan Guru

Namun, kemunculan AI dalam pendidikan juga mengundang kepada beberapa cabaran yang tidak boleh diketepikan. Salah satu daripadanya adalah ketidaksamaan akses. Masih terdapat beberapa sekolah di kawasan luar bandar yang berdepan dengan kekangan infrastruktur seperti capaian internet perlahan dan kekurangan peranti digital. Jika perkara ini tidak diatasi, jurang prestasi antara pelajar bandar dan luar bandar akan menjadi semakin ketara.

Isu privasi dan keselamatan data turut menjadi kebimbangan. Hal ini kerana AI bergantung kepada data besar untuk berfungsi secara optimum. Ini bermakna maklumat peribadi pelajar akan direkod dan dianalisis oleh sistem. Tanpa peraturan ketat, data ini berisiko disalah guna sama ada oleh pihak syarikat teknologi atau pihak luar.

Perlu ada undang-undang khusus dalam pengurusan data pendidikan yang diakses AI, supaya hak pelajar dan guru dilindungi,” tegas Che Khairuleffendi, seorang pereka kurikulum digital tempatan.

Tambahan lagi, penggunaan AI telah mengubah landskap peranan guru. Dalam beberapa kes, guru menjadi lebih kepada penyelaras sistem atau pemantau data berbanding pendidik aktif. Ini boleh menjejaskan hubungan interpersonal antara guru dan pelajar serta mengehadkan pembangunan aspek kemanusiaan dalam pembelajaran seperti empati dan pemikiran kritis.

Cadangan Pendekatan Holistik dan Etika yang Jelas

Pakar pendidikan mencadangkan agar kerajaan dan institusi pendidikan mengambil pendekatan yang seimbang dan beretika dalam mengintegrasikan AI. Pertama sekali adalah keutamaan perlu diberikan kepada penyediaan kemudahan digital yang saksama. Program bantuan peranti, jaringan internet dan sokongan teknikal perlu diperluas ke seluruh negara agar tiada pelajar ketinggalan.

Kedua pula adalah dasar etika AI dalam pendidikan mesti dibangunkan. Ini termasuk garis panduan tentang pengumpulan, penyimpanan dan penggunaan data pelajar. Pelajar dan ibu bapa perlu dimaklumkan secara telus bagaimana data digunakan dan diberi pilihan untuk mengawal tahap perkongsian maklumat mereka.

Yang ketiga, AI seharusnya menjadi alat bantu guru bukan pengganti. Oleh itu, latihan profesional perlu disediakan kepada guru untuk meningkatkan literasi digital mereka serta kebolehan mengintegrasi AI dalam pengajaran. Modul pengajaran juga perlu disusun agar AI digunakan untuk memperkukuhkan lagi pedagogi sedia ada bukan menenggelamkannya.

Akhir sekali, sistem pentaksiran perlu distruktur semula supaya tidak hanya menilai prestasi akademik melalui metrik digital tetapi turut mengutamakan kemahiran insaniah, kolaborasi dan keupayaan dalam menyelesaikan masalah secara kreatif.

Oleh: 

Ahmad Nor Shazani Ahmad Shahiri
Dr Mohd Mokhzani Ibrahim

Scroll to Top