am@hmetro.com.my
Marang: “Kecil di mata orang namun besar bagi saya,” kata Hashim Omar, 69, yang juga dikategori sebagai orang kurang upaya (OKU) fizikal dari Taman Rahmat, dekat sini.
Hashim antara penerima Kotak Rezeki dalam Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Coway-Misi Bantuan Banjir, yang berlangsung di Dewan Sivik Merchang, dekat sini, Khamis lalu.
Hashim berkata, dia tinggal bersama isteri dan 10 lagi anak dan cucu serta mempunyai dua anak yang juga dikategori sebagai OKU fizikal yang perlu ditanggung.
“Alhamdulillah, dengan bantuan ini walaupun kecil bagi orang lain namun besar bagi saya, kerana setidaknya ia meringankan beban perbelanjaan saya untuk tempoh tertentu.
“Bantuan berbentuk keperluan harian ini amat bermanfaat bagi saya yang mempunyai keluarga besar kerana kalau diikutkan harganya juga tentu ratusan ringgit,” katanya.
Menurutnya, Taman Rahmat yang dihuninya merupakan penempatan berkelompok bagi golongan OKU dan rumahnya antara yang sering terjejas akibat banjir.
Katanya, dalam episod banjir akhir bulan lalu dia terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di dewan di taman berkenaan.
Hashim berkata, sudah menjadi lumrah apabila berlakunya banjir sudah tentu ada barangan atau perkakas yang rosak namun atas faktor usia dan fizikal dia tidak dapat menggantikan barangan yang rosak dengan segera berikutan tidak mempunyai pendapatan selain wang bantuan kerajaan.
“Kebiasaan rumah saya akan ditenggelami banjir hampir satu meter dan rutin itu dilalui sejak menghuni taman itu 30 tahun lalu,” katanya.
Seorang lagi penerima, Isah Sulong, 70, dari Kampung Tasik Kubu, di sini, berkata, dia berdepan situasi banjir sejak 20 tahun lalu akibat limpahan air Sungai Beris.
“Setiap kali musim tengkujuh, dua ke tiga kali dia bersama keluarga akan dipindahkan ke PPS kerana rumah ditenggelami banjir sedalam 0.5 hingga satu meter.
“Syukur hari ini ‘orang surat khabar’ datang menyalurkan bantuan, saya amat berterima kasih setidaknya dapat mengurangkan beban perbelanjaan saya,” katanya.
Jirannya, Kalsom Jusoh, 74, turut melontarkan pendapat sama iaitu bantuan yang diterima melalui Program TKHM Bersama Coway-Misi Bantuan Banjir dapat meringankan bebanan perbelanjaannya.
“Saya teruja apabila disenarai sebagai penerima dan bantuan yang diterima dapat dimanfaatkan untuk kegunaan harian,” katanya.
Menurutnya, ketika banjir berlaku dia terpaksa berlindung di rumah seorang lagi anaknya yang terletak di daerah manakala anak yang tinggal bersamanya berpindah ke PPS selepas rumahnya digenangi banjir sedalam satu hingga 1.5 meter.
© New Straits Times Press (M) Bhd


