razis@mediaprima.com.my
BERDASARKAN kajian yang dijalankan membuktikan susu ibu adalah sumber pemakanan utama dan terbaik untuk tumbesaran bayi.
Oleh itu, ibu digalakkan memberi susu sepenuhnya sehingga bayi berusia enam bulan dan diteruskan sehingga dua tahun.
Bagaimanapun, bagi menjayakan penyusuan bukan terletak sepenuhnya di bahu ibu kerana penyusuan adalah satu proses yang mencabar.
Selain perlu menguruskan hal rumah tangga, ibu yang bekerja pasti berdepan sedikit tekanan untuk meneruskan penyusuan bayi.
Kaunselor laktasi bertauliah, Nurun Nadia Masrom berkata, sokongan daripada suami dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh isteri untuk terus menyusukan bayi anda.
“Kadangkala mungkin bantuan yang diberikan dilihat seperti kecil namun sebenarnya mampu memberi impak yang besar kepada isteri. Contohnya membantu menukarkan lampin bayi atau menenangkan anak yang sedang menangis.
“Peranan yang dimainkan suami bukan sahaja dapat membantu meringankan beban dan tekanan isteri malah mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya.
Nurun Nadia berkongsi beberapa peranan yang boleh dimainkan suami untuk membantu menjayakan penyusuan.
1. Bantu tukarkan lampin bayi sebelum atau selepas menyusu
Peranan suami dalam menukar lampin bayi mungkin kelihatan tugas kecil namun ia mempunyai impak besar dalam menyokong penyusuan susu ibu.
Dengan membantu menukar lampin sebelum atau selepas menyusu, suami bukan sahaja meringankan beban isteri tetapi juga memastikan bayi selesa dan membantu bayi tidur dengan nyenyak selepas menyusu.
Ini memberi lebih banyak ruang kepada ibu untuk berehat seketika dan mengumpul tenaga sebelum memulakan penyusuan kembali.
Menukar lampin seperti suatu proses yang mudah tetapi ia memberi impak kepada ibu dan bayi dari sudut:
a. Persediaan sebelum menyusu: Suami boleh memastikan bayi sudah siap dengan lampin yang bersih sebelum sesi penyusuan bermula. Ini membantu mengelakkan gangguan ketika menyusu kerana bayi mungkin tidak selesa dengan lampin yang kotor.
b. Kebersihan dan kesan positif: Mengambil alih tugas menukar lampin membantu ibu untuk menjaga kebersihan bayi dan memastikan bayi tidak berasa gatal atau tidak selesa yang boleh menjejaskan keinginan bayi untuk menyusu secara aktif.
c. Waktu berkualiti: Melakukan tugas ini dengan cara yang tenang dan penuh perhatian juga memberikan peluang kepada suami untuk berinteraksi dan membina ikatan dengan bayi, sekali gus menyokong penyusuan ibu dengan lebih baik.
2. Bantu mandikan bayi
Memandikan bayi adalah salah satu tugas harian yang penting dan boleh menjadi saat istimewa ikatan yang bermakna antara ayah dan bayi.
Apabila suami membantu memandikan bayi, ia bukan sahaja meringankan tanggungjawab isteri tetapi juga memberi peluang kepada isteri untuk berehat atau bersedia untuk sesi penyusuan seterusnya.
Suami yang melakukan aktiviti ini juga dapat memahami lebih baik keperluan bayi dan memberi sokongan emosi kepada isteri.
3. ‘Skin-to-Skin’ dengan bayi
Sentuhan kulit ke kulit (skin-to-skin) bukan hanya bermanfaat untuk ibu dan bayi, tetapi juga penting untuk seorang ayah.
Suami boleh meletakkan bayi di dada mereka, di mana bayi hanya memakai lampin, untuk merasai sentuhan kulit ke kulit.
Ini membantu bayi merasa tenang, selamat dan pada masa sama memperkuat ikatan antara ayah dan bayi. -Skin-to-skin juga membantu menenangkan bayi yang secara tidak langsung menyokong ibu dalam proses penyusuan.
4. Bantu tenangkan bayi menangis
Bayi menangis tidak semestinya kerana lapar. Suami boleh membantu dengan memeriksa dan menenangkan bayi sebelum terus meminta ibu menyusukan bayi.
Mungkin bayi tidak selesa, terlalu panas atau sejuk, atau memerlukan tidur. Dengan memahami keperluan bayi, suami boleh membantu isteri dengan cara lain selain menyusu dan ini mengurangkan tekanan kepada isteri, terutama apabila dia sedang keletihan atau dalam proses pemulihan selepas bersalin.
Membantu menenangkan bayi kelihatan agak mudah namun ia tidak seperti yang disangka dan bayi bukan hanya perlu ditenangkan dengan penyusuan semata-mata.
Suami boleh membantu mengenal pasti dan menyelesaikan punca tangisan bayi, seperti memeriksa sama ada bayi perlu dibedung atau berasa tidak selesa. Ini mengurangkan tekanan pada ibu untuk segera menyusukan bayi sebagai satu-satunya cara untuk menenangkan bayi.
Suami boleh menggunakan teknik menenangkan seperti teknik 5S (‘swaddle,’ ‘side lying,’ ‘sshing,’ ‘swing,’ ‘sucking’) dengan membuai bayi, menggunakan ‘white noise,’ atau berbicara lembut untuk menenangkan bayi. Ini membantu bayi untuk tenang tidak semestinya bergantung dengan susu ibu sahaja.
5. Sentiasa tanya keadaan isteri
Emosi dan kesihatan mental ibu sangat penting dalam menjayakan penyusuan.
Suami harus sentiasa peka dengan keadaan isteri dan bertanya jika dia memerlukan bantuan atau sokongan tambahan.
Tawaran bantuan ini boleh dalam bentuk menjaga bayi seketika, menyediakan makanan atau sekadar menjadi pendengar yang baik.
Dengan memberi perhatian kepada kesejahteraan isteri, suami dapat membantu mengurangkan risiko keletihan (‘burn ou’t) dan tekanan, yang boleh mengganggu proses penyusuan.
Antara cara yang suami boleh lakukan untuk memastikan isteri dalam keadaan baik seperti:
a.Komunikasi terbuka: Suami harus melakukan komunikasi terbuka dengan isteri mengenai keperluan dan perasaannya termasuk termasuk berbincang mengenai cabaran dalam penyusuan dan mencari penyelesaian bersama.
b.Sokongan emosi: Memberi sokongan emosi kepada isteri dengan bertanya mengenai kesejahteraannya membantu mengurangkan rasa tekanan dan keletihan. Suami boleh menawarkan sokongan moral, seperti memberi pujian atau kata-kata semangat.
c.Bantuan praktikal: Jika isteri memerlukan bantuan dengan tugas-tugas rumah tangga, suami boleh menawarkan untuk mengambil alih tugas itu sementara isteri fokus pada penyusuan atau berehat. Ini membantu ibu untuk menguruskan masa dan tenaga dengan lebih baik.
© New Straits Times Press (M) Bhd