Brussels: Pergaduhan tercetus dalam penerbangan Jet2 dari Turki ke Britain pada 12 Februari lalu memaksa juruterbang memutuskan untuk pesawat itu mendarat sini, dan menyebabkan dua penumpang diusir, lapor The New York Times.
Insiden itu dirakam menerusi video dramatik dan tular di media sosial berlaku di udara selepas pesawat berlepas dari Antalya, Turkiye, menuju ke Manchester, England.
Pesawat itu dilencongkan ke Brussels selepas tiga jam penerbangan walaupun perjalanan asal dijangka mengambil masa kira-kira lima jam.
Polis menaiki pesawat di Brussels dan menahan dua penumpang yang kini diharamkan daripada menaiki syarikat penerbangan itu seumur hidup, menurut kenyataan rasmi Jet2.
Kenyataan itu menyatakan pergaduhan berlaku akibat tingkah laku buruk dua penumpang yang mengganggu ketenteraman pelanggan lain serta kru kabin.
Syarikat penerbangan turut menegaskan akan mengambil tindakan tegas untuk menuntut semula kos yang ditanggung akibat perubahan jadual penerbangan.
Sebagai syarikat penerbangan mesra keluarga, Jet2 mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap tingkah laku penumpang yang mengganggu dan memohon maaf kepada pelanggan yang terkesan.
Jet2, syarikat penerbangan tambang rendah Britain sebelum ini pernah menuntut 50,000 Pound Sterling (RM278,945) kepada dua beradik pada 2022 akibat tingkah laku ganas.
Insiden yang dikenali sebagai “air rage” atau amukan di udara dilaporkan meningkat sejak 2021 berikutan penumpang kembali menaiki pesawat pascapandemik Covid-19.
Menurut Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat (AS), Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mencatatkan peningkatan 400 peratus kes amukan di udara antara 2019 hingga 2025.
Pakar tingkah laku, Wendy Patrick berkata, keadaan sempit dalam kebanyakan pesawat moden menyumbang kepada perkembangan amukan di udara dengan cepat dalam kalangan penumpang.
Katanya, rakaman video menunjukkan beberapa individu terbabit dalam pergaduhan di lorong pesawat termasuk aksi seorang pramugari merayu supaya penumpang menghentikan perbuatan mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




