'Kecuaian awak pandu membabi buta, orang lain jadi mangsa…' – Kakak mangsa kemalangan di Jalan Kuching tuntut keadilan

'Kecuaian awak pandu membabi buta, orang lain jadi mangsa…' – Kakak mangsa kemalangan di Jalan Kuching tuntut keadilan

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya sekadar ingin anda berfikir (keluarga BYD), atas sikap kecuaian awak memandu membabi buta, orang lain yang menjadi mangsa.

“Saya berharap mahkamah boleh beri keputusan yang adil kerana bukti rakaman kamera papan pemuka (dashcam) sangat jelas dan nyata.”

Demikian luahan Nurul Akmar Yahya berhubung kemalangan yang menimpa adiknya, Ahmad Safwan Yahya dalam nahas enam kenderaan di Jalan Kuching, di sini, pada Sabtu lalu.

Kemalangan membabitkan kereta elektrik BYD, Perodua Bezza, Nissan Almera, Toyota Alphard, Perodua Myvi dan sebuah motosikal Yamaha 135LC itu turut mengorbankan kanak-kanak, Allahyarham Asiah Ahmad Syahir, 5.

Nurul Akmar dalam perkongsiannya di Threads memaklumkan, Ahmad Safwan yang menunggang motosikal ketika kejadian mengalami kecederaan patah pinggang kiri, kulit kepala terkoyak dan paru-paru kiri bocor.

Menurutnya, adiknya kini masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan menjalani pembedahan untuk menjahit kulit kepala yang terkoyak pada Selasa lalu.

“Sekarang pihak kami sedang menunggu rawatan seterusnya iaitu pembedahan bagi pinggang kiri yang patah dan paru-paru kiri leaking (bocor),” katanya.

Dalam perkongsian itu, Nurul Akmar membangkitkan perkara berhubung perbelanjaan keluarga Ahmad Safwan yang mempunyai seorang isteri dan tiga anak kerana pemulihan adiknya dijangka mengambil masa lama sebelum boleh kembali bekerja semula.

“Siapa yang akan menampung kos harian kerana adik saya mempunyai keluarga yang perlu diberi makan (isteri dan tiga anak).

“Dalam tempoh pemulihan, keluarga adik saya tiada punca pendapatan kerana isterinya tidak bekerja,” katanya.

Dia turut mempersoalkan sama ada pemandu pemandu BYD berkenaan di bawah pengaruh dadah atau sebaliknya ketika kejadian.

Selain itu, dia berharap siasatan kes berkenaan dijalankan dengan telus serta berharap mahkamah dapat memutuskan keputusan yang adil berdasarkan bukti dan rakaman dashcam yang didakwanya jelas menunjukkan kejadian itu.

Dalam hantaran itu juga, Nurul Akmar dan seluruh keluarganya menyampaikan salam takziah buat keluarga Allahyarham Asiah.

Semalam media melaporkan, pemandu kereta elektrik BYD terbabit kemalangan sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak perempuan lima tahun, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas tiga tuduhan termasuk memandu secara berbahaya.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan dan meminta dibicarakan sebaik dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Aliaa Anwar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top