Beijing: Hubungan sulit seorang suami selama 16 tahun terbongkar selepas isterinya melihat perempuan simpanannya hadir di majlis pengebumian bapa mentuanya dengan berpakaian serba hitam sebagai tanda berkabung, lapor South China Morning Post.
Menurut Henan Television, Shang dari wilayah Shandong itu berkahwin dengan suaminya, Wang, selama 19 tahun namun, tidak diketahui sama ada mereka mempunyai anak.
Kejadian berlaku pada Jun 2022 apabila wanita dikenali sebagai Shang dari wilayah Shandong, curiga melihat kelibat seorang wanita tidak dikenali di majlis itu.
Wanita itu yang dikenal pasti sebagai Wen bukan sahaja memakai pakaian berkabung, malah memperkenalkan dirinya sebagai “menantu” sambil menangis di sisi keranda, seolah-olah dia adalah ahli keluarga.
Apabila Shang bersemuka dengan suaminya, Wang, mengenai kehadiran Wen, jawapan suaminya yang mengelak hanya menguatkan lagi syak wasangkanya.
Berang dengan keadaan itu, Shang membawa perkara berkenaan ke mahkamah untuk mendapatkan kepastian.
Siasatan mahkamah kemudian membongkar rahsia Wang yang menjalin hubungan sulit dengan Wen selama 16 tahun, malah mempunyai seorang anak lelaki hasil hubungan terlarang itu.
Wang sebelum ini menipu isterinya dengan memberi alasan dia keluar bekerja sebagai pemandu trak jarak jauh.
Hakikatnya, dia tinggal bersama Wen dan anak mereka di sebuah bandar lain.
Jiran-jiran juga mengesahkan Wang dan Wen hidup seperti suami isteri, malah Wang pernah menandatangani borang kebenaran pembedahan Wen sebagai suaminya.
Mahkamah mendapati Wang bersalah atas kesalahan bigami kerana hidup bersama dengan Wen ketika masih berkahwin secara sah dengan Shang.
Akibatnya, dia dijatuhi hukuman penjara selama setahun dan rayuannya terhadap keputusan itu turut ditolak.
Kisah itu tular di media sosial China dengan rata-rata netizen menyifatkan hukuman yang diterima Wang terlalu ringan berbanding perbuatannya yang memusnahkan dua keluarga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




