Paris: Pihak berkuasa Perancis pada Selasa lalu menahan empat lagi individu yang disyaki terbabit dalam siasatan berhubung kecurian permata diraja yang berlaku pada waktu siang di Muzium Louvre bulan lalu, menjadikan jumlah tangkapan keseluruhan dalam kes itu meningkat kepada lapan orang.
Menurut Ketua Pendakwa Raya Paris, Laure Beccuau, mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki berusia 38 dan 39 tahun, serta dua wanita berusia 31 dan 40 tahun, kesemuanya berasal dari Paris.
Rompakan berani itu berlaku pada 19 Oktober lalu apabila sekumpulan empat penjenayah menyerbu Louvre, muzium seni yang paling banyak dikunjungi di dunia dalam kejadian pada waktu siang.
Mereka hanya mengambil masa tujuh minit untuk melarikan permata yang dianggarkan bernilai AS$102 juta (RM484.5 juta) sebelum melarikan diri menggunakan skuter.
Modus operandi kumpulan itu termasuk meletakkan trak dilengkapi tangga di bawah Galeri Apollo, tempat menyimpan permata mahkota Perancis. Mereka kemudian menaiki bakul trak itu, memecahkan tingkap dan menggunakan pemotong sudut untuk menceroboh masuk ke ruang pameran kaca yang menempatkan khazanah berharga itu.
Barangan curi itu yang terdiri daripada lapan permata termasuk rantai berlian dan zamrud yang dihadiahkan oleh Napoleon I kepada isteri keduanya, Maharani Marie-Louise masih belum ditemukan. Ketika melarikan diri, pencuri turut menjatuhkan mahkota milik Maharani Eugenie, isteri Napoleon III.
Sebelum ini, empat individu iaitu tiga lelaki dan seorang wanita dituduh berhubung kecurian itu dengan salah seorang lelaki berusia 37 tahun ialah pasangan kepada wanita itu dan mereka mempunyai seorang anak.
Pasangan itu ditahan selepas DNA mereka ditemukan di dalam lif bakul yang digunakan ketika rompakan. Lelaki terbabit juga mempunyai rekod jenayah membabitkan 11 sabitan terdahulu dengan kebanyakannya berkaitan kes kecurian.
Dua lelaki pertama yang ditahan pula dikenali polis kerana kegiatan kecurian dan kedua-duanya tinggal di pinggir bandar Aubervilliers, di timur laut Paris.
Kecurian berani ini menjadi tajuk utama berita di seluruh dunia sekali gus menyerlahkan isu keselamatan muzium di Perancis yang sering berdepan pencerobohan di institusi kebudayaannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



