hifzuddin@bh.com.my
Baling: Kerajaan Persekutuan akhirnya membenarkan permintaan Kedah menukar status kawasan tanaman padi berdekatan bandar utama kepada zon industri, komersial dan perumahan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan itu diberikan selepas beliau membawa hasrat kerajaan negeri ke dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan dipersetujui.
Katanya, Kedah dibenarkan menebus guna kawasan tanaman padi terutamanya sekitar Alor Setar bagi ditukar statusnya untuk melaksanakan projek pembangunan yang memberi manfaat jangka panjang.
“Apabila kita berunding dengan kerajaan negeri, mereka sedia jaga kawasan Jelapang Padi yang membekalkan beras kepada negara, tapi bagaimana kawasan Alor Setar mahu berkembang?
“Alor Setar perlu berkembang dan perlu ada pembangunan lain, kena ada kawasan industri dan perumahan. Jadi saya bawa pandangan ini dan Jemaah Menteri bersetuju untuk kita perluaskan sedikit Alor Setar.
“Jadi kita kurangkan sedikit kawasan tanaman padi sekitar Alor Setar bagi memastikan keperluan Kedah untuk industri, perumahan dan komersial dapat dijamin,” katanya ketika merasmikan Program MADANI Rakyat di Dewan Tunku Abdul Rahman di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Sebelum ini, Kedah tidak dapat membangunkan kawasan tanaman padi terutama yang menjadi Jelapang Padi berikutan ia perlu diusahakan dengan sawah padi yang menjadi sebahagian program keselamatan dan keterjaminan makanan.
Berikutan itu, langkah berkenaan didakwa menjadi punca kerajaan negeri gagal membangunkan Kedah apabila kawasan industri dan komersial baharu tidak dapat dilaksana.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, usaha berterusan Kerajaan Persekutuan membantu Kedah membuktikan beliau tidak pernah meminggirkan negeri berkenaan.
Katanya, peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk Kedah juga meningkat setiap tahun bagi memastikan kesejahteraan rakyat bersama.
“Sebab itu peruntukan untuk pembangunan dan pengurusan Kedah bertambah jauh lebih besar berbanding 2021 sebanyak RM7 bilion kepada RM9.6 bilion pada tahun ini.
“Saya tahu ini keperluan untuk orang Kedah, tebatan banjir misalnya perlu dibuat. Kita juga perlu hasil tanaman padi Kedah, bila periksa kena ada RM5 bilion lebih lengkapkan infrastruktur, jadi kita mula luluskan RM1 bilion dahulu dan ada kemajuan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd