Kedah FA mampu menyinar dalam Liga A1 Semi Pro – Sanusi

Kedah FA mampu menyinar dalam Liga A1 Semi Pro – Sanusi

sukan@hmetro.com.my

Alor Setar : Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yakin Kedah FA yang akan membuat kemunculan kali pertama dalam Liga A1 Semi Pro musim ini mampu menyinar dan memberi saingan yang diharapkan kepada semua pasukan yang bertanding.

Beliau yang berucap pada Majlis Memperkenalkan Penaja dan Pasukan di Dewan Melor Seri Metaloon semalam berkata, selain dibarisi gabungan pemain muda dan berpengalaman, Kedah FA juga turut mendapat sentuhan daripada barisan kejurulatihan yang tidak asing dalam liga bola sepak tempatan.

“Kita menyertai musim pertama Liga A1 ini sebagai pasukan berstatus ‘underdog’, tetapi Alhamdulillah kerana disamping pemain, kita juga memiliki barisan kejurulatihan dan penjaga gol yang berpengalaman dan pernah mewakili negara.

“Saya yakin dengan pengalaman mereka ini akan digarap bersama kesungguhan barisan akan membawa Kedah untuk menyinar pada musim pertama liga A1.

“Kita tidak mahu letak sasaran yang tinggi sangat dan oleh itu saya harap mereka cuba bersungguh-sungguh untuk mencapai kedudukan yang terbaik pada musim ini”, katanya.

Sanusi juga berkata, pembikinan pasukan Kedah FA yang dibimbing oleh Ketua Jurulatih Victor Andrag ini dilakukan berdasarkan kadar kemampuan yang ada agar memastikan pasukan tidak terjebak dalam ketidakupayaan dalam soal pembayaran gaji seperti yang dialami oleh pasukan-pasukan lain sebelum ini dalam liga tempatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top