Kedah FA tolak pendekatan ‘mi segera’

Kedah FA tolak pendekatan ‘mi segera’
Sanusi (tengah) bergambar bersama kepiminan KFA dan pemain Kedah FA yang bakal bersaing dalam Liga A1 Semi Pro. Foto KFA

Sanusi (tengah) bergambar bersama kepiminan KFA dan pemain Kedah FA yang bakal bersaing dalam Liga A1 Semi Pro. Foto KFA

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan pembentukan semula skuad Kedah perlu berasaskan realiti kewangan dan keupayaan tempatan, bukan sekadar mengejar nama besar atau kejayaan segera.

Menurut beliau, pendekatan ini lebih mampan untuk memastikan kelangsungan bola sepak negeri dalam jangka panjang tanpa bergantung kepada perbelanjaan luar kemampuan dan pemain import semata-mata.

“Kita tidak perlukan bajet besar. Yang penting, pasukan ini milik rakyat Kedah dan dibarisi pemain tempatan yang memiliki semangat juang tinggi.

“Banyak pasukan yang ditubuhkan dengan perbelanjaan besar akhirnya terkubur.

“Kemenangan pula disumbang pemain luar hingga hilang identiti pasukan,” katanya selepas melancarkan pasukan Kedah FA yang akan bersaing dalam Liga A1 Semi Pro di Dewan Melor Seri Mentaloon, malam Isnin.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah turut menyuarakan keyakinan bahawa sambutan terhadap Liga A1 Semi Pro bakal melebihi Liga Super, khususnya dalam kalangan penyokong setia negeri itu.

“Orang Kedah memang cintakan bola sepak. Tak kira liga apa pun, sokongan tetap utuh. Kita pernah bersaing di Divisyen Dua dan liga semipro sebelum ini, tetapi semangat penyokong tidak pernah luntur,” ujarnya.

Sebanyak 16 pasukan akan bersaing dalam Liga A1 musim ini, dengan Kedah FA dijadual memulakan kempen menentang Perlis GSA di Kangar pada 2 Ogos depan.

Scroll to Top