am@hmetro.com.my
Alor Setar: Kedah terus berdepan cuaca panas berpanjangan selepas tidak menerima hujan lebih sebulan dengan suhu harian kini semakin meningkat dan dirasai di kebanyakan kawasan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria berkata, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), daerah Padang Terap kini berada pada tahap dua (gelombang haba) dengan suhu mencecah antara 37 hingga 40 darjah Celsius.
Katanya, keadaan cuaca panas di Kedah ketika ini lebih ketara berbanding negeri lain.
“Saya ingin nasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah termasuk kunjung-mengunjung pada Aidilfitri ini atau aktiviti riadah yang lain.
“Saya bimbang orang ramai boleh terdedah kepada suhu panas yang tinggi hingga boleh menyebabkan strok haba. Minum air kosong dalam jumlah yang banyak bagi mengelakkan dehidrasi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Selain itu, Mansor turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi keadaan cuaca panas ketika ini.
“Jangan lakukan pembakaran sampah secara tidak terkawal kerana cuaca kering boleh menyebabkan kebakaran merebak dengan pantas. Paras air di sungai dan empangan juga semakin surut, jadi elakkan pembaziran air.
“Ada kawasan yang berdepan masalah tiada air, jadi simpan air secukupnya dan gunakan mengikut keperluan kerana apabila bekalan terjejas, ia memberi kesan kepada kehidupan seharian,” katanya.
Hari ini MetMalaysia memaklumkan sebanyak 14 kawasan di Semenanjung berada pada tahap satu (berjaga-jaga), termasuk daerah Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




