Kedah harap Kerajaan luluskan pampasan RM200 juta kekalkan tanah sawah

Kedah harap Kerajaan luluskan pampasan RM200 juta kekalkan tanah sawah

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Kerajaan negeri berharap permohonan pampasan ganti rugi sebanyak RM200 juta setahun atas kehilangan pendapatan bagi mengekalkan tanah sawah dan pembangunan Kampung Tersusun akan tersenarai dalam Belanjawan 2025.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu antara permohonan dalam senarai keutamaan Kedah yang diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Mei lalu.

Katanya, kelulusan permohonan itu pasti akan memberi manfaat kepada kerajaan negeri khususnya rakyat Kedah.

“Kita sudah serahkan wish list (senarai keutamaan) Kedah pada ketika itu, kita harap ia dapat dipenuhi dalam Belanjawan kali ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian Tabung Wanita Sejahtera di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, Kedah kehilangan pendapatan untuk jaminan keselamatan makanan negara sedangkan permintaan untuk perumahan, industri dan komersial meningkat setiap tahun.

“Sekiranya kita bangunkan kawasan yang termasuk dalam Rancangan Pembangunan Daerah (RPD) dianggarkan kita mampu kutip cukai tanah tambahan RM200 juta, jadi kita mohon ia dipertimbangkan oleh Persekutuan.

“Ini dua perkara utama yang diharapkan. Saya harap tak tangguh lagi. Kadang-kadang strategi orang pun, katanya akan kaji maksudnya tangguhlah. Saya harap tak berlaku lagi,” katanya.

Muhammad Sanusi juga berharap pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) turut disenaraikan dalam belanjawan kali ini, selain peruntukan tambahan projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) supaya dapat segera disiapkan.

“Saya juga harap pembangunan takungan air bawah tanah yang dirancang di Langkawi turut tersenarai.

“Tanaman padi lima kali dua tahun juga perlu dimasukkan dalam belanjawan yang sebelum ini dijanjikan RM3 bilion dan dinaikkan kepada RM5 bilion,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top