Kedah mula dapat rentak

Kedah mula dapat rentak

KUALA LUMPUR –  Selepas melalui prestasi tidak menentu sejak awal musim, Kedah Darul Aman (KDA) FC mula mendapat rentak pada penghujung saingan Liga Super.

Semua itu banyak dibantu dengan kehadiran semula dua tonggak import, Dechi Marcel  dan Marc Vales yang sudah pulih daripada kecederaan jangka panjang.

Perkara itu dikongsikan tonggak pertahanan pasukan, Mohd. Akmal Md.Zahir yang turut meletakkan faktor semangat kekeluargaan juga kepada peningkatan Kedah yang kini telah mendaki tangga kelima Liga Super.

“Sejak Vales dan Dechi (N’Guessan) kembali bersama pasukan, saya dapat rasakan pasukan sangat berbeza yang menjadikan kami tidak lagi senang ditewaskan dalam mana-mana perlawanan.

“Kehadiran Dechi terutamanya menguatkan semula bahagian tengah yang tampak kritikal sebelum ini manakala Vales banyak membantu saya di benteng pasukan.

“Selain itu, keharmonian dalam pasukan tampak kian meningkat sejak kebelakangan ini dan itu turut menjadi salah satu sebab kami boleh beraksi dengan positif.

“Justeru, saya harap momentum ini mampu diteruskan sehingga ke saingan TM Piala Malaysia kerana itu peluang terbaik buat kami meraih sesuatu,” katanya.

Vales yang kini kembali ke Andorra bagi bersama pasukan kebangsaannya telah tampil sejak aksi berdepan Sabah pada 17 Ogos manakala N’Guessan mula beraksi sejak dimasukkan selaku pemain gantian semasa menentang Penang pada 2 September lalu.

Berbekalkan empat perlawanan terakhir yang masih belum tewas dengan meraih tiga kemenangan berturut-turut pada aksi terakhir ke atas Selangor FC, Melaka United FC dan Penang FC, skuad Kenari itu kini kembali berpeluang mencabar tempat ke Piala AFC.

Masih mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding pencabar terdekat, Kedah berpeluang merapatkan jurang kepada lima mata sahaja di belakang pasukan ketiga, Negeri Sembilan FC bagi slot terakhir ke Piala AFC 2023.

Menurut Akmal, mereka akan cuba sedaya upaya untuk terus bersaing selagi mereka masih berpeluang namun tidak menafikan ruang yang sedikit sukar buat Kedah.

“Peluang kami masih ada memandangkan dari baki lima perlawanan, kami akan bertemu Negeri Sembilan dan Terengganu yang turut bersaing bagi melayakkan diri ke Piala AFC.

“Cuma dari baki perlawanan yang ada, kami kena bertemu JDT (Johor Darul Ta’zim) sebanyak dua kali selain PJ City, jadi sememangnya laluan sukar buat kami kerana tidak boleh keciciran sebarang mata.

“Jadi sepanjang tempoh masa rehat ini, kami kena gunakan sepenuhnya untuk perbaiki segala kekurangan bagi memastikan kami boleh menutup cabaran Liga Super dengan kedudukan yang boleh dibanggakan,” katanya. – MalaysiaGazette