sukan@hmetro.com.my
Alor Setar : Meskipun menempuh cabaran yang berliku sepanjang bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC), bekas Ketua Jurulatihnya Nafuzi Zain tetap menganggap pengalaman sepanjang dua tahun bersama Sang Kenari sebagai kenangan terindah, luar biasa dan tidak akan dilupakan.
Pengendali berpengalaman berusia 46 tahun itu, keputusannya untuk meninggalkan pasukan seperti yang diumumkan pihak pengurusan semalam bukan masalah besar buat Sang Kenari untuk terus berjuang memburu kejayaan pada masa akan datang.
“Berat untuk membuat keputusan ini, namun saya memilih untuk tidak lagi bersama Kedah Darul Aman FC. Perlawanan menentang Kuala Lumpur City FC tempoh hari menjadi perlawanan terakhir saya selaku Ketua Jurulatih KDA FC.
“Sudah tentu setiap keputusan yang dibuat akan memberi impak namun saya percaya akan ada pelangi selepas hujan dan pasukan akan terus melakar kejayaan selepas ini.
“Perjalanan yang sangat indah bersama keluarga KDA FC dengan segala suka dan duka ditempuhi bersama demi memberi kejayaan kepada seluruh penyokong hijau kuning,” katanya.
Nafuzi juga berkata, beliau juga amat menghargai peluang yang diberikan oleh pemilik pasukan Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar terhadapnya dalam melaksanakan tugas memacu kelab yang penuh bersejarah ini.
“Segala kenangan di sini sememangnya sukar untuk saya lupakan. Kelab ini sangat luar biasa dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemilik KDA FC Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar kerana memberi peluang buat saya melaksanakan tugas dalam memacu kelab yang penuh bersejarah ini.
“Terima kasih juga kepada semua pegawai yang sentiasa memberi komitmen sangat tinggi buat pasukan di belakang tabir dan juga di padang latihan. Semuanya sudah saya anggap seperti keluarga saya sendiri,” katanya.
Beliau juga berkata, semua pemain yang dianggap seperti keluarganya sendiri bermula dari padang latihan hingga ke aksi setiap perlawanan dengan membuktikan penuh semangat juang meskipun berdepan cabaran.
“Kepada pemain, saya sangat berbangga dengan komitmen latihan di dalam padang sehingga ke perlawanan. Kerjasama yang ditunjukkan di setiap perlawanan sangat membanggakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




