bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Tiga penjenayah mengambil masa kira-kira hanya 10 saat untuk melarikan pelbagai jenis barang kemas di sebuah kedai emas dalam sebuah pasar raya di Jalan Gombak, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, suspek memakai jaket dengan topi keledar bertutup serta memakai pelitup muka didapati masuk premis dan memecahkan ruang pameran kaca dalam kedai terbabit.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 5.15 petang daripada orang awam.
Katanya, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tiga suspek lelaki bersenjatakan parang, tukul besi dan kapak mendalangi kejadian samun itu.
“Dua suspek masuk ke dalam manakala seorang rakan mereka yang bersenjatakan parang menunggu di luar premis dan ketika kejadian tiada pelanggan dalam premis kedai emas terbabit.
“Mereka memecahkan cermin pameran kedai emas terbabit dan melarikan pelbagai barang kemas dalam tempoh masa tidak lebih daripada 10 saat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Ashari berkata, jumlah anggaran kerugian barangan kemas yang dibawa lari dalam kejadian itu masih dalam siasatan.
“Kita syak mereka melarikan diri dengan motosikal dan ini kali pertama premis ini dipecah masuk.
“Siasatan lanjut dijalankan dan akan menyemak CCTV di kawasan berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumatboleh menghubungi balai polis berhampiran.
ter
© New Straits Times Press (M) Bhd




