Kedudukan Anwar sebagai PM tidak terjejas jika 9 Ahli Parlimen PKR keluar parti – Ahmad Maslan

Kedudukan Anwar sebagai PM tidak terjejas jika 9 Ahli Parlimen PKR keluar parti – Ahmad Maslan

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap stabil walaupun sembilan ahli parlimen PKR mengumumkan keluar parti dan menjadi ahli Parlimen Bebas.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) perlu memenangi kerusi parlimen melebihi dua pertiga atau sekurang-kurangnya 112 kerusi.

Katanya, kerajaan PH diterajui Anwar yang juga Menteri Kewangan kini mempunyai 153 kerusi parlimen.

“Jika sambilan atau 11 ahli parlimen PKR mengumumkan keluar parti dan menjadi ahli parlimen bebas, kerajaan PH tetap utuh dan jawatan Anwar sebagai Perdana Menteri tidak terjejas.

“Tetapi kita yakin Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad serta sembilan ahli parlimen PKR tidak akan keluar parti dan menjadi ahli Parlimen Bebas,” katanya ketika ditemui pada program Santai Komuniti Madani, di Kampung Batu Rakit, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Bahagian Setiu, Bazlan Abdul Rahman.

Ahmad berkata demikian ketika mengulas desakan 11 Ketua Cabang PKR Kedah dan 19 Ketua Cabang Johor menggesa siasatan tatatertib dan penggantungan serta-merta keahlian sembilan Ahli Parlimen parti itu susulan membuat sidang media bagi mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu pelantikan badan kehakiman.

Ahmad berkata, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi dan Nik Nazmi (bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berjiwa besar dan mengutamakan kestabilan negara.

Katanya, kedua-dua Ahli Parlimen itu tidak akan keluar parti kerana mereka sayangkan kestabilan serta tidak mahu negara kerugian berikutan keadaan politik tidak stabil.

Ahmad berkata, Rafizi dan Nik Nazmi yang dikenali tidak mahu mengulangi sejarah yang berlaku bermula pada tahun 2018 hingga 2022 apabila berlaku pertukaran Perdana Menteri sehingga menyebabkan negara kerugian berikutan politik tidak stabil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top