Penyanyi Keena Mentor, 38, berkongsi keadaan kesihatannya yang semakin baik selepas menjalani rawatan perubatan Islam selama hampir setahun.
Pernah dikenali sebagai pelantun lagu genre pop rock dan balada, Keena yang kini lebih aktif menyanyikan lagu-lagu klasik mendedahkan pengalaman berdepan ujian berat, termasuk insiden muntah darah yang mengejutkan.
“Jika dahulu sejak keluar program Mentor 3 pada 2009, saya cenderung dengan genre muzik popular seperti rock, pop dan balada. Namun, sejak setahun kebelakangan ini, saya lebih fokus kepada irama klasik.
“Namun begitu, saya tetap tidak terlepas daripada ujian. Sama ada menyanyi lagu popular atau klasik, saya tetap mengalaminya. Jadi, saya terus berubat cara Islam untuk ikhtiar.
“Keadaan kesihatan saya kini sihat Alhamdulillah, tetapi masih menjalani rawatan akibat penyakit misteri. Muntah darah adalah salah satu perkara yang saya alami dan serangan ini semakin berkurangan selepas rawatan berterusan,” katanya.
Protégé kepada Datuk Awie itu turut mendedahkan bahawa kesihatannya terjejas akibat gangguan yang dikaitkan dengan sihir atau santau, sehingga penglihatannya menjadi kabur.
“Disebabkan mata saya kurang nampak, saya sering memakai kaca mata. Saya percaya ramai dalam industri seni mungkin pernah mengalami perkara serupa, tetapi memilih untuk tidak berkongsi,” ujarnya.
Keena atau nama sebenarnya, Suriana Abd Wahab, 38, turut mendedahkan dia telah mendapatkan rawatan moden dan tradisional untuk mengenal pasti punca penyakitnya.
“Saya pernah terfikir untuk menjalani pembedahan kerana ada biji kelenjar di belakang kanan atas badan yang dikesan oleh doktor. Namun, saya tangguh dahulu dan mencuba rawatan tradisional.
“Selepas beberapa sesi rawatan, ia beransur hilang. Ustaz juga menyarankan agar saya mengamalkan ayat-ayat suci al-Quran, menjaga solat, serta melindungi diri dan rumah dengan amalan tertentu,” katanya.
Hasil ujian imbasan sebelum ini menunjukkan terdapat enam hingga tujuh ketulan kelenjar pada tubuhnya, tetapi Keena memilih untuk terus berusaha dan bertawakal.
“Saya tidak sepenuhnya percaya kepada sihir atau santau, tetapi kita perlu berikhtiar. Ada yang percaya, ada yang tidak. Saya hanya reda dengan ujian ini,” tambahnya.
Keena juga berkongsi insiden pelik yang berlaku, termasuk ulat sampah keluar dari badannya selepas mandi sejurus balik berubat.
“Ada ketikanya, ulat sampah keluar dari badan selepas mandi. Tahun lalu, pasir sungai pula yang keluar ketika saya sedang menyanyi. Semua ini membuatkan saya lebih berhati-hati,” katanya.
Disebabkan masalah kesihatan tersebut, Keena mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia lakonan dan memberi tumpuan kepada kesihatannya.
“Saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa. Rezeki adalah pemberian Allah, dan saya percaya jika kita memudahkan urusan orang lain, rezeki kita juga akan dipermudahkan,” jelasnya.
Keena turut mengamalkan ayat Nabi Sulaiman setiap kali keluar bekerja untuk perlindungan dan berharap agar dapat kembali aktif dalam kerjaya seni tanpa halangan.
“Walaupun sukar, saya percaya ini adalah ujian yang mendewasakan dan menguatkan diri saya. Insya-Allah, saya akan terus berusaha untuk bangkit,” katanya.
Keena ditemui di Majlis Pelancaran Festival Kampung Tradisi di SUK Selangor, Shah Alam, pada Isnin.
Terlibat dalam acara terbabit, ia dianjurkan oleh Adikara bersama RAR Sky Sdn Bhd dan bakal berlangsung selama empat hari bermula 12 sehingga 15 Disember 2024 di Dataran Pantai Morib, Selangor.
Festival ini bertujuan untuk meraikan warisan budaya Melayu dan memperkenalkan tradisi unik kepada generasi baharu.