Kegagalan amat pahit untuk ditelan

Kegagalan amat pahit untuk ditelan

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kekalahan di tangan Thailand nyata amat pahit untuk ditelan dengan beberapa siri kesilapan pemain menyaksikan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara gagal melayakkan diri ke Piala Asia B-23 di Arab Saudi, tahun ini.

Dalam aksi terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2026 di Stadium Thammasat di Bangkok malam tadi, skuad muda negara tumbang 1-2, sekali gus memusnahkan impian beraksi di pentas tertinggi Asia buat kali ketiga berturut-turut selepas layak ke pusingan akhir dalam dua edisi sebelum ini pada 2022 di Uzbekistan dan 2024 di Qatar.

Menurut pengendali skuad B-23 negara, Nafuzi Zain, beliau akui kecewa dengan keputusan itu dan berpandangan beberapa kesilapan mudah menghukum pasukan khususnya di hujung permainan.

“Kami bermain dengan baik dan mempunyai banyak peluang jelas untuk menjaringkan gol. Akan tetapi pada akhirnya, kami melakukan kesilapan untuk membenarkan pihak lawan menyumbat gol.

“Itulah sebabnya kami tewas 2-1 pada minit akhir. Dari segi keputusan, saya rasa kecewa namun, terhadap komitmen pemain malam ini saya sangat berbangga,” katanya selepas perlawanan itu.

Kegagalan di Kelayakan Piala Asia B-23 itu dianggap pencapaian buruk pasukan negara sejak 2022 lalu yang konsisten layak pada dua edisi lalu.

Kedua-dua saingan lalu, skuad muda negara layak secara merit sebelum terkandas di peringkat kumpulan di mana Malaysia menghuni tangga keempat dalam Kumpulan C di Uzbekistan pada 2022 serta Kumpulan D di Qatar 2024 lalu.

Pencapaian gemilang sudah tentunya pada saingan 2018 di China apabila skuad negara kendalian Datuk Ong Kim Swee waktu itu mara sehingga ke suku akhir sebelum tewas tipis 1-2 kepada Korea Selatan.

Kegagalan di Bangkok malam tadi menyaksikan skuad B-23 kendalian Nafuzi meneruskan rentak negatif selepas turut gagal di saingan Piala AFF B-23 di Jakarta Julai lalu apabila sekadar menghuni tangga ketiga kumpulan di belakang Indonesia dan Filipina.

Jelas Nafuzi, fokus beliau selepas ini adalah membawa pasukan ke temasya Sukan SEA 2025 yang dijadual berlangsung di Thailand, Disember ini.

“Dalam kejohanan sebelum ini (Piala AFF B-23), kami beraksi di Jakarta. Kami berada dalam skuad yang sama. Hampir semua daripada kami adalah pemain muda. Saya rasa skuad kami telah meningkat.

“Kami mempunyai pasukan yang lebih baik dan permainan bola sepak yang lebih baik. Namun, kami masih banyak perlu dipelajari. Saya akan membuat persiapan untuk Sukan SEA akan datang.

“Saya harap kami dapat beraksi dengan lebih baik untuk memperoleh keputusan yang baik di Sukan SEA. Saya harap kami dapat beraksi dengan lebih baik untuk memperoleh keputusan yang baik di Sukan SEA,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top