suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kegembiraan jelas terpancar pada wajah 122 golongan asnaf, anak yatim, ibu tunggal dan pelajar tahfiz apabila menerima duit raya serta barangan keperluan menerusi program Ihya Ramadan anjuran Pertubuhan Wanita Annur (PWA).
Program berkenaan diadakan bagi menyantuni golongan memerlukan selain berkongsi rezeki sempena Ramadan dengan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian.
Penjaga Hal Ehwal Anak-anak Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Jamaliah Wahab berkata, seramai 20 pelajar dari rumah kebajikan itu hadir dalam program berkenaan bagi menerima sumbangan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penganjur yang menyantuni anak-anak di rumah kebajikan itu menerusi program berkenaan.
“20 orang hadir pada program hari ini iaitu 10 lelaki dan 10 perempuan daripada jumlah keseluruhan 109 yang tinggal di sana ketika ini.
“Sejak ditubuhkan pada 2007, rumah ini sudah memberi manfaat kepada kira-kira 120 penerima, termasuk menjaga 16 bayi serta membantu 10 anak melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya kepada pemberita selepas program Ihya Ramadan anjuran PWA, di Hotel Maya, di sini, hari ini.
Menurutnya, kebanyakan anak di rumah kebajikan itu terdiri daripada kategori yatim, yatim piatu, asnaf dan anak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari seluruh negara termasuk Sabah.
Katanya, anak-anak terbabit sentiasa teruja apabila menerima sumbangan terutama duit raya dan barangan keperluan.
“Mereka memang gembira apabila dapat duit raya, tapi semua kita simpan di SSPN (Simpanan Pendidikan Nasional) atas nama mereka sendiri,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden PWA, Datin Faridah Zainol Abidin berkata, program berkenaan adalah penganjuran tahun kedua oleh persatuan itu.
Katanya, sumbangan disalurkan kepada golongan asnaf, anak yatim, pelajar tahfiz dan ibu tunggal yang memerlukan.
“Kali ini, penerima yang mendapat sumbangan adalah 110 anak-anak yatim, tahfiz dan asnaf, manakala 12 ibu tunggal turut menerima bantuan,” katanya.
Beliau berkata, antara penyumbang utama program itu ialah Affin Bank yang menyumbang RM20,000 dan Bank Muamalat sebanyak RM10,000, selain sumbangan daripada pihak lain.
“Kami berharap untuk tahun-tahun yang akan datang kami mungkin akan buat lebih gah daripada sini untuk memberi dan menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




