Kehadiran Adun bukan Islam atas titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan – Mains

Kehadiran Adun bukan Islam atas titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan – Mains

am@hmetro.com.my

Seremban: Kehadiran Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) bukan Islam ke Taklimat Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan pada 20 Mei lalu adalah atas titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) pada kenyataan berkata, kehadiran EXCO itu bagi memberi kefahaman mengenai pentadbiran Islam di negeri ini untuk semua rakyat.

“Kehadiran ini adalah atas titah dan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bertujuan untuk mendedahkan serta membuka kefahaman mengenai pentadbiran Islam di Negeri Sembilan.

“Taklimat ini turut membentangkan pencapaian institusi agama negeri termasuk pemerkasaan pendidikan Islam dan usaha pendigitalan institusi agama Islam,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mains, taklimat sama yang diadakan pada 8 Oktober tahun lalu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerajaan dan pembangkang, turut dihadiri mereka yang bukan beragama Islam.

Jelasnya, pendekatan itu membuktikan komitmen Mains terhadap tadbir urus Islam yang progresif, inklusif dan selari dengan aspirasi perpaduan serta kemajuan bersama seluruh rakyat Negeri Sembilan.

Sejak beberapa hari lalu tular di media sosial gambar Adun DAP, Teo Kok Seong yang bersongkok menghadiri majlis taklimat mengenai pentadbiran Islam.

Bagaimanapun, ia mendapat perhatian beberapa pihak yang mempersoalkan kehadiran Adun bukan Islam itu malah beberapa akaun di media sosial turut memperkatakan isu sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top