Kehadiran Anwar ke PAU 2023 bagi sempurnakan tugas kepada negara

Kehadiran Anwar ke PAU 2023 bagi sempurnakan tugas kepada negara

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyifatkan kehadirannya ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 adalah bagi menyempurnakan tugas kepada negara.

Beliau yang pertama kali hadir ke PAU 2023 selepas dipecat daripada parti itu 25 tahun yang lalu mengakui, ia merupakan satu pengalaman peribadi baginya dan disifatkannya sebagai sesuatu yang penting.

“Yang penting menyempurnakan tugas kepada negara. Pengalaman peribadi itu penting, tetapi ia tidak boleh mengatasi kepentingan rakyat dan negara.

“Jadi, saya hadir semula kerana saya gunakan platform perpaduan ini untuk memperkukuh kerajaan dan memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita pada PAU 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Selain Anwar, pemimpin daripada 19 parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan turut hadir dalam PAU 2023 antaranya Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut menyifatkan beliau selesa hadir ke PAU 2023 disebabkan sudah biasa menghadapi situasi seperti itu.

“Saya tentunya rasa selesa kerana sudah biasa dengan suasana itu termasuk menghafal lagu Umno,” selorohnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top