Kehadiran Herry Iman di tepi gelanggang beri impak besar – Wan Arif

Kehadiran Herry Iman di tepi gelanggang beri impak besar – Wan Arif

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King mengakui semakin serasi dengan corak permainan diterapkan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, yang menjadi kunci kejayaan mereka muncul juara Terbuka Macau, semalam.

Wan Arif berkata, penampilan Herry di duduk tepi gelanggang membimbing dirinya serta Roy King di kejohanan itu nyata memberi impak besar kepada mereka apabila menunjukkan pasangan nombor lapan dunia dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 22-20, 21-18 di Macao East Asian Games Dome.

“Sebelum ini kami memang susah nak sesuaikan diri dengan corak permainannya (Herry).

“Rasanya ini kejohanan kelima apabila dia (Herry) ada (duduk) di belakang kami.

“Sekarang baru dapat serasi dengan corak permainannya. Dari segi latihan, selepas beberapa bulan baru dapat balik (corak latihan Herry). Harap selepas ini kami boleh tingkatkan lagi prestasi kami,” katanya.

Kemenangan itu membolehkan Wan Arif-Roy King meraih kejuaraan sulung Jelajah Dunia dan membalas dendam ke atas Gutama-Pahlevi yang mengalahkan mereka dalam final Masters Sepanyol tahun lalu.

Mengulas lanjut aksi final itu, Wan Arif berkata, mereka sememangnya sudah melakukan persiapan rapi serta dapat membaca taktikal lawan.

“Jurulatih (Herry) ada buat analisis video sebelum ini, jadi kami cuba membaca corak permainan mereka. Jurulatih pun sering mengingatkan kami mengenai kelemahan dan kekuatan lawan.

“Bantuannya banyak beri kelebihan kepada kami dan sebab itu lawan nampak sukar apabila bertemu kami,” katanya.

Mengulas masalah air menitik dari sistem pendingin hawa yang menyebabkan permukaan gelanggang menjadi licin, sekali gus mengganggu aksi final semalam, Wan Arif mengakui dia serta Roy King terkesan dengan situasi itu.

“Tapi bila fikir semula, lawan kami turut alami perkara sama. Jadi saya hanya cakap kepada diri sendiri untuk fokus setiap mata,” katanya.

Kemenangan Arif-Roy King membolehkan mereka membawa pulang wang tunai AS$29,230 (RM123,825), manakala Gutama-Pahlevi meraih AS$14,060 (RM59,561).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top