ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Akademi Badminton Malaysia (ABM) membuka pintu gelanggang latihan kepada barisan pemain bertaraf dunia sebagai rakan sepelatih, langkah agresif untuk meningkatkan konsistensi pemain perseorangan negara melalui pendedahan elit.
Menurut Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenneth Jonassen, kehadiran pemain antarabangsa sepanjang dua minggu kebelakangan ini memberi impak besar, bukan sahaja kepada pemain senior malah bakat muda terutama memahami tuntutan sebenar di peringkat tertinggi dan mengekalkan prestasi dari hari ke hari.
“Minggu ini kami bertuah kerana Anders Antonsen, pemain nombor tiga dunia berada di sini untuk berlatih bersama perseorangan lelaki. Ini peluang besar untuk pemain muda belajar,” kata beliau.
Sebelum itu, ABM turut menerima kunjungan pemain berprofil tinggi minggu lalu termasuk pemain Perancis, Christo Popov dan adiknya Toma Junior Popov, selain wakil Denmark Rasmus Gemke serta bintang India Lakshya Sen.
Menurut Jonassen, kepelbagaian gaya permainan pemain jemputan memberi cabaran jarang ditemui dalam latihan domestik, sekali gus memperkayakan proses pembelajaran.
“Ia gabungan pemain elit dengan gaya berbeza. Mereka juga banyak menyumbang kepada perkembangan pemain junior,” kata beliau.
Bagaimanapun, Jonassen menegaskan pendedahan elit hanyalah satu komponen dalam penanda aras pasukan bagi 2026, dengan konsistensi dikenal pasti sebagai aspek paling kritikal.
“Satu perkara ialah menang ke atas pemain ranking lebih tinggi. Satu lagi jangan terlalu kerap tewas kepada ranking lebih rendah. Yang paling penting, konsistensi,” katanya.
Beliau menjelaskan struktur latihan di ABM disusun untuk meniru tekanan kejohanan, dengan pemain dituntut mengekalkan prestasi hampir terbaik walaupun keletihan fizikal.
“Kami menolak had lima hingga enam hari seminggu, bukan saja tahap puncak tetapi juga konsistensi pada hari-hari badan penat,” jelas beliau.
Pemain negara juga dibenarkan bermain mata penuh menentang rakan sepelatih, bukan sekadar latihan ringan, bagi merasai sendiri intensiti sebenar di peringkat elit.
“Kami benarkan mereka bermain mata supaya faham betapa sukarnya untuk meraih setiap mata,” katanya.
Jonassen menyifatkan tempoh dua minggu ini sebagai satu keistimewaan buat kem latihan kebangsaan, susulan penyingkiran awal beberapa pemain jemputan di Terbuka Malaysia yang membolehkan mereka kekal berlatih di Kuala Lumpur.
“Saya ambil peluang dan buka pintu sedikit. Manfaatnya jelas kepada pemain kita, minggu lalu dan minggu ini,” kata beliau.
Beliau yakin interaksi berkala dengan lawan bertaraf dunia, digabungkan penanda aras prestasi jelas, mampu merapatkan jurang antara latihan dan pertandingan, khususnya buat pemain muda yang sedang menyesuaikan diri dengan tempo serta tekanan antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




