hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kehadiran dan pengawasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di jalan raya ketika musim perayaan yang rendah menyebabkan pemandu berasa tidak gentar mahupun diperhatikan.
Ia berdasarkan tinjauan awam yang dilakukan pasukan penyelidik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) sejak 10 tahun kebelakangan ini mengenai ‘Perception of Being Caught’ (POBC).
Malah, kekurangan pengawasan oleh anggota pihak berkuasa juga menyebabkan pengurusan trafik ketika musim perayaan tidak berkesan apabila banyak lokasi dilaporkan sesak teruk.
Aktivis Keselamatan Jalan Raya dan Pengangkutan Mampan, Shahrim Tamrin berkata, jumlah ribuan saman yang dikeluarkan ketika musim perayaan bukan menunjukkan penguatkuasaan keselamatan jalan raya dan pengurusan trafik wujud serta berkesan.
“Setiap kali musim perayaan, koordinasi antara PDRM dan JPJ kelihatan seolah-olah tiada muafakat untuk beri tumpuan tertentu dan merancang strategi jitu dalam pengurusan lalu lintas dalam usaha menimbulkan POBC kepada pengguna jalan raya.
“Apa yang berlaku kini sudah jelas ribuan saman yang dikeluarkan tidak diendahkan oleh pengguna jalan raya yang degil kerana tidak ada tindakan susulan oleh pihak berkuasa seperti senarai hitamkan mereka mahupun memburu pesalah jalan raya untuk diheret ke mahkamah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Shahrim berkata, jarang dilihat kehadiran anggota pihak berkuasa dalam pengurusan lalu lintas yang nyata atau ‘visible’ terutamanya di lebuh raya, jalan persekutuan dan negeri.
“Kehadiran polis peronda lebuh raya dan JPJ di lokasi yang sering dilaporkan sesak tidak dikesan antaranya di Lebuhraya Utara-Selatan di antara Nilai dan Seremban; Senawang hingga Alor Gajah; Rawang hingga Tanjung Malim, Bidor hingga Tapah dan Juru hingga Sungai Dua selain di Lebuhraya KL-Karak.
“Maka akibat limpahan lalu lintas dari lebuh raya kerana tidak ada pengurusan trafik oleh PDRM dan JPJ, kesesakan jalan raya amat teruk berlaku di bandar-bandar kecil terutamanya di kawasan lampu isyarat dan juga persimpangan di desa dan pekan.
“Apa yang boleh dirumuskan, lalu lintas amat teruk berlaku pada hari tanpa tol atau hari diskaun 50 peratus iaitu dua hari sebelum sambutan perayaan yang mengakibatkan limpahan trafik begitu tinggi seperti contoh di Bentong, Kuala Terengganu, Jambatan Pulau Pinang, Kuantan, Kuala Kangsar, Grik, Taiping dan sebagainya.
“Malah, keadaan lalu lintas yang buruk berlaku seperti di antara Merapoh hingga Gua Musang serta antara Bentong hingga Raub. Ini kerana kurangnya perhatian pihak berkuasa untuk tangani perkara yang sudah biasa dilalui oleh mereka yang pulang balik kampung,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd